Warga emas yang mendakwa dipukul pegawai Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam operasi menangkap anjing liar minggu lalu, akan didakwa di mahkamah esok.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Fakhrudin Hamid, lelaki berusia 69 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda maksimum RM10,000, atau kedua-duanya sekali.

Menurut Fakhrudin, pegawai MBPJ yang didakwa memukul warga emas itu tidak dikenakan sebarang pertuduhan.

Lelaki itu dilaporkan cuba menghalang dua pegawai MBPJ daripada menangkap anjing yang dikatakan haiwan peliharaannya, di Taman Kanagapuram di Petaling Jaya minggu lepas.

Ketika kejadian warga emas itu mendakwa dia dipukul di sebelah kiri mukanya dengan kayu penangkap anjing oleh salah seorang pegawai MBPJ.

Dia kemudian disiasat kerana menghalang tugas penjawat awam.