Spekulasi Ab Rauf ganti Sulaiman sebagai KM Melaka timbul semula
Spekulasi mengenai pelantikan ketua menteri Melaka yang baru bagi menggantikan Sulaiman Md Ali muncul semula.
Sumber memaklumkan kepada Malaysiakini, Sulaiman bakal digantikan oleh Adun Tanjung Bidara, Ab Rauf Yusoh.
Sumber turut memaklumkan seorang Adun PH akan dilantik sebagai exco dalam kerajaan negeri.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Ab Rauf akan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Ali Rustam pada Jumaat ini.
Akhbar itu melaporkan pihak media menunggu selama tiga jam di pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri, namun gagal mendapat sebarang pengesahan dan komen daripada Sulaiman.
Sumber terdekat pejabat Ketua Menteri juga memaklumkan tiada arahan selanjutnya diberikan setakat ini.
Sementara itu, Ab Rauf yang juga Ketua Perhubungan Umno Melaka enggan mengulas lanjut mengenai perubahan struktur kerajaan Melaka.
"Saya tak mahu komen lanjut sehingga ada maklumat seterusnya," katanya ringkas.
Dua hari lepas, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi membayangkan Melaka mungkin membentuk Kerajaan Perpaduan seperti mana di peringkat persekutuan
Presiden Umno itu tidak menjelaskan lebih lanjut dan mengatakan perkara itu akan dibincangkan terlebih dahulu dengan Sulaiman dan Ab Rauf.
Ketika ini, Melaka ditadbir sepenuhnya oleh kerajaan BN dengan barisan exconya terdiri daripada Adun BN.
BN Melaka mempunyai 21 kerusi daripada 28 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN). Ini diikuti dengan Pakatan Harapan (PH) dengan lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dengan dua kerusi.
Sejak pilihan raya negeri Melaka pada 2021, terdapat persepsi dan dakwaan bahawa Ab Rauf cuba menjadi ‘abang besar’ dan mengatasi peranan Sulaiman selaku ketua menteri. Bagaimanapun Ab Rauf menafikan perkara itu.
Spekulasi terbaru timbul semula pada Disember tahun lalu, apabila Sulaiman dilapor akan berundur sebagai ketua menteri pada awal Januari dan digantikan dengan Ab Rauf.
Bagaimanapun, kedua-duanya menafikan khabar angin berkenaan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/05/a7bed3406417ed003b55913bf27959ff.jpg)
