Berikutan pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mengambil langkah segera mendamaikan semula tiga pemimpin utama Umo bahagian Kuala Selangor yang tidak sehaluan bagi memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN)pada 28 April ini.

Sehubungan itu, satu pertemuan antara Dr Mohd Khir dengan tiga pemimpin terbabit Ahli Parlimen Kuala Selangor, Daud Tarihep; Ketua Umno bahagian itu, Datuk Ameruddin Setro dan Timbalannya, Mohamed Sayuti Said diadakan minggu lalu.

Ameruddin dan Mohamed Sayuti masing-masing merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Jeram dan Bukit Melawati dalam Parlimen Kuala Selangor.

Krisis antara mereka tercetus sewaktu berlakunya pertandingan jawatan peringkat bahagian Kuala Selangor pada 2004.

"Dr Mohd Khir meminta kami bertiga supaya berdamai dan melupakan sengketa lama terutama menjelang pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok 28 April ini," kata Daud ketika ditemui malaysiakini semalam.

"Saya sedia berdamai dengan Ameruddin dan Mohamad Sayuti tetapi perlu sepanjang masa dan bukannya kerana pilihanraya kecil Ijok sahaja ," kata Daud (foto) selepas majlis pengumuman calon BN Ijok semalam.

BN memilih Setiausaha MIC Kuala Selangor, K Partiban sebagai calonnya dalam pilihanraya 28 April ini. Hari penamaan calon adalah Khamis ini.

Khalid calon PKR

Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula memilih Bendahari Agung PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai calonnya di Ijok dan pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat malam ini.

Perselisihan tercetus apabila Amerudin mencabar jawatan ketua bahagian berkenaan yang ketika itu disandang oleh Daud.

Amerudin memenangi pertandingan tersebut dan sejak itu hubungannya dengan Daud renggang. Ekoran itu, Daud walaupun Ahli Parlimen Kuala Selangor tidak dijemput menghadiri majlis anjuran Umno bahagian.

Daud tidak bersetuju Amerudin mencabarnya dengan alasan Amerudin telahpun menjadi Adun Jeram.

Mohamed Sayuti yang merupakan penyokong kuat Amerudin dan timbalan ketua bahagian tersebut, dipilih bertanding dan menang kerusi DUN Bukit Melawati dalam pilihanraya umum lalu.

Terdapat tiga DUN negeri dalam Parlimen Kuala Selangor Ijok, Jeram dan Bukit Melawati.

Selesai masalah setinggan

Berikutan itu, Daud berkata, beliau telah dilantik oleh Menteri Besar menjadi timbalan pengarah bersama jentera pilihanraya Umno bahagian Kuala Selangor bagi pilihanraya kecil Ijok dengan Mohamad Sayuti.

Jentera pilihanraya Umno bahagian itu diketuai oleh Ameruddin, untuk menyelaraskan kempen membantu calon BN, termasuk oleh Wanita, Pemuda dan Puteri Umno peringkat bahagian tersebut.

Manakala kempen yang membabitkan Umno dari luar Selangor diselaraskan oleh jawatankuasa kempen badan perhubungan Umno Selangor, yang dipengerusikan oleh Dr Mohd Khir Toyo.

Selain itu, Daud juga dilantik sebagai ketua pengundi luar iaitu untuk mengesan dan memastikan lebih 1,000 pengundi supaya balik mengundi pada 28 April ini.

"Menteri Besar juga mahu saya menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk Ijok seperti setinggan yang membabitkan 179 keluarga kaum India di Kampung Permai, Kampung Pecah Batu dan Kampung Seri Sentosa," katanya.

Daud berkata, pemaju mahu membina rumah murah untuk mereka tetapi penduduk menolak dan ini menyebabkan kerajaan memberi lot tanah dengan bayaran antara RM8,000 dan RM10,000 setiap lot.