Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan Perpaduan: Tak semestinya berlaku di negeri lain, kata TPM

Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberi bayangan bahawa penubuhan Kerajaan Perpaduan - yang mungkin berlaku di Melaka - tidak semestinya akan terjadu di negeri lain termasuk Johor.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan itu adalah kerana situasi politik yang berlaku di Melaka tidak ada kena mengena dengan situasi di negeri lain.

“Jadi suasana politik di negeri lain mungkin berbeza dengan apa yang berlaku di negeri Melaka.

"Saya harap tiada sebarang spekulasi yang wujud, sebab yang penting ialah kestabilan politik bukan sahaja di peringkat nasional, tetapi kita yakin kestabilan juga perlu diwujudkan untuk pentadbiran di setiap negeri,” katanya kepada pemberita pada majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek Kampung Sungai Gersik, di Muar hari ini.

Bagaimanapun Ahmad Zahid berkata apa yang penting ialah rakyat mengharapkan kestabilan politik dapat diterjemahkan menerusi limpahan pelaburan dari luar negara, sekali gus peluang ekonomi atas kepercayaan para pelabur, sama ada domestik ataupun asing.

“Kestabilan juga akan membawa keyakinan kepada rakyat akan kepimpinan negeri itu sendiri dan saya yakin apa yang diharapkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) ialah kestabilan politik,” kata Ahmad Zahid.

Sejak semalam, politik di Melaka menjadi tumpuan ramai, apabila Sulaiman Md Ali meletak jawatan sebagai ketua menteri ke-12 negeri itu.

Ketika ini, Melaka ditadbir sepenuhnya oleh kerajaan BN. Gabungan itu menguasai 21 kerusi daripada 28 kerusi di dewan undangan negeri (DUN), manakala PH memenangi lima kerusi dan PN dua.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno hari ini berkata parti itu mencadangkan nama Ab Rauf Yusoh sebagai ketua menteri ke-13 Melaka.

Situasi di Melaka dibimbangi akan memberi kesan kepada kerajaan Johor, sekali gus membentuk Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran negeri terbabit.

Pada pilihan raya negeri (PRN) di Johor yang lalu BN memenangi lebih dua per tiga kerusi iaitu 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan, diikuti PH 13 kerusi dan PN tiga.

Ketika ditanya apakah perubahan politik yang dijangkakan di Melaka dengan adanya ketua menteri serta barisan exco baru, Presiden UMNO itu yakin semangat Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional akan berjaya diterjemahkan di peringkat negeri, sekali gus pada enam PRN akan datang.

“Kita mesti membiarkan optik dan naratif yang baik bagi menyebarluaskan situasi pembentukan kerajaan perpaduan ini di peringkat negeri.

"Saya juga dimaklumkan di peringkat Johor ia dilaksana menerusi kaedah Johor sendiri, yang mana kerajaan negeri telah memberikan peruntukan yang bersesuaian kepada semua Adun Johor.

“Ini tentunya memberikan optik yang baik buat kerajaan Johor dan akan dapat memberikan keseimbangan antara kerajaan negeri yang diwakili Adun BN dan Adun dari parti gabungan yang lain, termasuk yang tidak bersama dengan kerajaan persekutuan,” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dan Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS