Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
UiTM setuju tetapkan dialog mahasiswa ke tarikh lain: Syed Saddiq

Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersetuju membenarkan sesi dialog bersama mahasiswa yang sepatutnya berlangsung di kampusnya di Shah Alam malam ini, ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Presiden Muda, Syed Saddiq Abdul Rahman berkata Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti itu menyatakan komitmen untuk menetapkan tarikh yang sesuai selepas bulan Ramadan.

“Pelajar hari ini sudah boleh mengundi tetapi mereka tidak boleh terlibat dalam dialog aman seperti ini.

“Saya rasa ia tidak masuk akal.

“Apa yang mereka (kakitangan UiTM) katakan sangat matang, kita boleh adakan dialog, tapi mungkin tempat berbeza, mungkin perlu bawa seorang panel supaya lebih seimbang. Kita tak ada masalah,” katanya kepada pemberita di hadapan pintu masuk universiti itu malam ini.

Keputusan itu dicapai selepas Syed Saddiq mengadakan rundingan dengan kakitangan UiTM selama kira-kira 20 minit.

Seramai kira-kira 120 penyokong dan pelajar turut hadir dengan memakai lilitan serta bendera merah sambil melaungkan “hidup mahasiswa”.

Polis bantuan dan anggota polis turut ditempatkan di hadapan pintu masuk universiti.

Pintu pagar ditutup

Ketika Syed Saddiq muncul bersama rombongannya, pengawal keselamatan segera menutup pintu pagar dalam usaha menghalang mereka memasuki kawasan universiti.

Bagaimanapun ahli parlimen Muar itu berkata insiden malam ini tidak menghalangnya terlibat dalam sesi dialog di universiti lain dan berharap dapat bersua dengan pelajar sekerap yang mungkin.

“Cuma saya harap, mesej ini jelas apabila PM kongsi aspirasi supaya hak mahasiswa, kebebasan untuk bersuara tidak disekat, kita kena sambut.

“Jangan (hanya) katakan di atas, tetapi di bawah sekatan itu berlaku. Kita nak pastikan bahawa reform itu berlaku sebetul-betulnya," tambahnya.

Terdahulu, UiTM tidak membenarkan dialog anjuran Mahasiswa Demokratik Malaysia, bertajuk “Intern Bukan Buruh Paksa”, yang dijadual berlangsung malam ini.

Dalam sidang media di parlimen hari ini, Syed Saddiq mempersoalkan keputusan membatalkan sesi dialog berkenaan.

Dia mendakwa universiti itu pada 28 Mac lalu menolak permohonan untuk mengadakan dialog itu, dengan alasan untuk mengekalkan keharmonian kampus.

Sementara itu, Setiausaha Agung Muda, Amir Abd Hadi, yang hadir malam ini, berkata bendera dan lilitan tangan merah merupakan simbolik kepada tuntutan kepada kerajaan agar memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (UUCA) 1971.

Amir turut menyatakan harapan agar pihak universiti tidak mengambil tindakan tatatertib terhadap pelajar yang terlibat dalam protes aman malam ini.

“Mereka janji untuk berikan kita peluang. Tapi kita juga nak janji.

“Sekiranya ada tindakan terhadap pelajar ni, mungkin kita akan buat rundingan yang lebih besar,” katanya.

Lihat Komen
ADS