Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar: K'jaan akan utamakan usaha kukuhkan hubungan dengan China

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pentadbirannya akan mengutamakan usaha untuk membina hubungan dua hala yang lebih kukuh dengan China.

“Malaysia sentiasa mempunyai hubungan yang baik dan positif dengan China tetapi dengan kerajaan baru, pendirian kami adalah lebih jelas.

“Saya mengambil pendirian bahawa keutamaan kami (menyokong) ‘Dasar Satu China’ selain menumpukan kepada hubungan dua hala dengan China,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian di dalam ucapannya semasa mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatnya dari China Li Qiang yang berlangsung di Great Hall of the People, di sini hari ini.

Anwar berkata banyak dasar yang dipelopori Presiden China Xi Jinping seperti komuniti yang berkongsi masa hadapan, inisiatif keselamatan dan peradaban adalah sama dengan konsep Madani di Malaysia.

“Itulah faktor mengapa kami memilih secara terbuka mengumumkan sokongan kepada China dan kepimpinannya,” kata beliau.

Anwar juga mengucapkan terima kasih kepada rakan sejawatnya terhadap layanan baik dan mesra kepada beliau dan delegasi Malaysia.

Li dalam ucapannya berkata Malaysia dan China kini berada di satu titik permulaan bersejarah yang baharu dengan kedua-dua negara akan meraikan ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) tahun ini dan ke-50 jalinan hubungan diplomatik pada tahun hadapan.

Beliau berkata Xi dan Anwar juga telah bersetuju untuk membangunkan satu rangka tindakan bersama untuk hubungan dua hala di dalam era baharu.

Anwar melakukan kunjungan hormat kepada Xi semalam.

“Kerajaan kedua-dua negara seharusnya mengambil ini sebagai panduan untuk mempromosikan pembangunan di kedua-dua belah pihak kepada kualiti yang lebih tinggi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” kata Li.

Anwar dan Li menyaksikan majlis menandatangani tiga Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-kedua kerajaan selepas mesyuarat itu.

MoU pertama adalah Protokol Pertama untuk Meminda Perjanjian Pengembangan dan Pendalaman Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan China.

MoU itu ditandatangani oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Perdagangan China Wang Wentao.

MoU kedua adalah Protokol mengenai Keperluan Kesihatan dan Kuarantin untuk Import Makanan Akuakultur dari Malaysia ke China. Ia ditandatangani oleh Menteri Luar Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar China Tang Renjian.

MoU ketiga adalah Protokol Keperluan Fitosanitasi untuk Eksport Buah Nangka ke China antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Pentadbiran Awam Kastam China.

Ia ditandatangani oleh Zambry dan Menteri Pentadbiran Awam Kastam China Yu Jianhua.

Li juga menjadi hos kepada bankuet negara semasa iftar untuk Anwar dan delegasi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS