Dewan Rakyat tumpu RUU bacaan kedua hari ini
PARLIMEN | Persidangan Dewan Rakyat hari ini diteruskan dengan beberapa rang undang-undang (RUU) dibentangkan untuk bacaan kali kedua, termasuk RUU Kewangan 2023.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat di laman rasmi Parlimen, antara yang dijangka dibentang dan dibahaskan adalah RUU Levi Keuntungan Luar Biasa (Pengesahan) 2023 dan Rang Undang-Undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.
Turut dijangka dibentangkan RUU Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023, RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2023, serta RUU Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023.
RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2023 dan RUU Pencetakan Teks al-Quran (Pindaan) 2023 turut tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat pada hari ini.
Pada 28 Feb lepas, Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul memaklumkan persidangan mesyuarat pertama penggal kedua Parlimen Ke-15 ditambah dua hari lagi iaitu pada 3 dan 4 April, menjadikan tempoh bersidang keseluruhan selama 31 hari.
Keputusan itu dibuat bagi membolehkan beberapa RUU dan urusan kerajaan dapat dibentangkan dan diputuskan di Dewan Rakyat.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/08/d61cc91a1d24469a2374b7f9b8337466.jpg)
