Istiadat angkat sumpah barisan exco kerajaan Melaka dijangka dilangsungkan pada Rabu ini.

Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh berkata cadangan nama exco sudah dibincang dan diterima oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam.

"Seperti yang saya janjikan saya telah melengkapkan senarai nama barisan exco dalam tempoh 48 jam.

"Senarai nama-nama yang dirundingkan telah diterima dan saya akan menghadap Yang Dipertua Negeri Mohd Ali Rustam selepas beliau pulang dari luar negara," katanya kepada media selepas memulakan tugas rasmi sebagai ketua menteri ke-13 Melaka dengan memasuki pejabatnya di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh, pagi ini.

Katanya urusan pengumuman secara rasmi barisan exco tersebut akan diselesaikan sebelum keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Melaka Rabu ini.

Ditanya mengenai komposisi exco dari BN dan PH serta diwujudkan semula jawatan timbalan exco Ab Rauf enggan mengulas dan menyatakan hal tersebut hanya akan diumumkan kemudian.

"Apa yang boleh saya katakan portfolio adalah cantik dan menarik. Jadi kita tunggulah pada Rabu ini," katanya.

Terdahulu Ab Rauf, 62, tiba di Seri Negeri dengan menaiki kenderaan rasmi pada jam 7.30 pagi dan disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Zaidi Johari serta kakitangan pejabat pentadbiran kerajaan negeri.

Dia kemudian mengimbas kad perakam waktu pada 7.33 pagi sebelum memasuki bilik pejabatnya bagi menghadiri upacara ringkas selain sesi bergambar bersama ketua-ketua jabatan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara itu mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka Jumaat lalu selepas Sulaiman Md Ali meletak jawatan.

- Bernama