Tugas Nalla tarik pengundi India sokong Khalid
Datuk S Nallakarupan mempunyai tugas besar untuk menarik 3,473 atau 28.3 peratus pengundi kaum India supaya mengundi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Khalid Ibrahim dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Undangan Negeri (DUN) Ijok.
Datuk S Nallakarupan mempunyai tugas besar untuk menarik 3,473 atau 28.3 peratus pengundi kaum India supaya mengundi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Khalid Ibrahim dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Undangan Negeri (DUN) Ijok.
Ini kerana sebelum ini ramai pengundi kaum India yang menjangka Nalla yang akan bertanding di kerusi tersebut, kata Naib Ketua Angkatan Muda PKR (AMPKR), S Manikavasagam.
"Dalam perjumpaan saya dengan mereka sebelum ini, rata-rata pengundi India terbabit mahukan Nalla bertanding di Ijok.
"Berikutan pemilihan Khalid, saya dan pemimpin AMPKR terpaksa turun padang menemui pengundi India terbabit supaya menyokong bendahari agung PKR itu.
"Bagaimanapun, ini bukan tugas yang mudah kerana MIC akan menggunakan pemilihan Khalid sebagai calon PKR sebagai bukti kaum India dipinggirkan oleh parti itu," katanya ketika dihubungi malaysiakini .
Semalam, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail mengumumkan dalam satu majlis di Batang Berjuntai bahawa Khalid dipilih sebagai calon PKR dalam pilihanraya kecil DUN Ijok pada 28 April depan.
Hadir sama di majlis tersebut ialah Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan para pemimpin kedua-dua parti komponen Barisan Alternatif (BA) tersebut.
Adakan ceramah
Selasa lalu, Barisan Nasional (BN) mengumumkan Setiausaha MIC Kuala Selangor K Partiban sebagai calonnya. Pilihanraya kecil Ijok diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk K Sivalingam yang juga Pengerusi MIC Selangor pada 4 April lalu.
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan hari penamaan calon esok dan hari mengundi pada 28 April ini.
Mengenai strategi PKR di Ijok, Manikavasagam berkata, pihaknya akan berusaha mendapatkan kira-kira 2,000 penyokong bekas Ketua MIC Kuala Selangor, S P Thirumoorthy (foto) untuk mengundi Khalid pada 28 April ini.
Berikutan itu, katanya, pemimpin kaum India dalam PKR, terutama Nalla perlu kerap mengadakan ceramah di kawasan ramai pengundi India seperti Sungai Darah dan Ijok.
"Sebab itu Nalla mempunyai jadual yang sibuk kerana selain berceramah beliau perlu melakukan kempen dari rumah ke rumah untuk memastikan mereka mengundi Khalid," katanya.
Dalam pilihanraya umum 2004, Sivalingam mendapat 5,213 undi, calon PKR Abdul Rahman Moharam (3,564 undi) dan calon bebas Mohamad Sharif Nagoorkani (313 undi).

