PN pilih 3 wakil rundingkan peruntukan MP dengan kerajaan
Perikatan Nasional (PN) menamakan tiga ahli parlimen dari gabungan itu untuk membuat rundingan segera dengan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berhubung peruntukan kepada pembangkang.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata mereka terdiri daripada Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan; dan Ahli Parlimen Putrajaya, Mohd Radzi Jidin.
Katanya langkah tersebut diambil sebagai menghargai kesediaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk merundingkan perkara berkenaan.
“Dia (Anwar) kata peruntukan pun dah ada, jadi kita nak ia dibuktikanlah.
“Rundingan akan dilakukan dalam masa terdekat, namun kami tidak tahu berapa jumlah peruntukan sebenar.
"Bagaimanapun perdana menteri memaklumkan akan bagi jumlah yang sama dengan ahli parlimen kerajaan," katanya.
Tambah Tuan Ibrahim PN akan melihat dulu bagaimana perkembangan rundingan berkenaan serta syarat-syarat yang akan dikenakan.

Bekas menteri itu ditemui pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada golongan asnaf di Kota Bharu, semalam.
Sebelum ini Anwar dilaporkan mengulangi kesediaan kerajaan memberikan peruntukan dalam jumlah yang sama tanpa mengambil kira seseorang ahli parlimen itu berada dalam blok kerajaan atau pembangkang.
Bagaimanapun kata Anwar, ia perlu dimulakan dengan proses rundingan membabitkan kedua-dua pihak bagi menentukan parameter yang diluluskan.
Tuan Ibrahim yang juga anggota Parlimen Kubang Kerian berkata PN sangat berharap peruntukan berkenaan disalurkan segera khususnya untuk membantu rakyat semasa Ramadan ini dan menjelang Aidilfitri.
“Saya jangka rundingan itu berlaku sekali saja dan selesailah. Kita tengoklah apa perkembangannya nanti.
“Apa yang kita diberitahu oleh pihak perdana menteri kata akan diberi jumlah (peruntukan) yang sama seperti pihak (wakil rakyat) kerajaan.
"Kalau dalam RM800,000, ia jauh lebih rendah berbanding semasa PN memerintah,” ujarnya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/527c8618c817450e7c78d9d954aa405a.jpg)
