Kerajaan sedang meneliti keperluan untuk menggubal Akta Pembelaan Awam dan cadangan mewujudkan Pejabat Pembelaan Awam bagi menambahbaik serta mereformasikan perkhidmatan bantuan guaman di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, berkata penggubalan akta itu bertujuan menawarkan bantuan guaman percuma kepada golongan yang tidak berkemampuan dan membolehkan mereka mendapat akses kepada keadilan.

"Perkhidmatan bantuan guaman merupakan komponen yang penting untuk menegakkan keadilan.

"Namun, bukan setiap rakyat Malaysia mampu menanggung kos guaman. Pada ketika ini, terdapat beberapa penyedia perkhidmatan bantuan guaman utama bagi kes-kes jenayah di Malaysia antara lain, termasuk Jabatan Bantuan Guaman (JBG); Legal Aid Centre yang dikendalikan oleh Majlis Peguam; Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK); dan Klinik Bantuan Guaman yang dikendalikan oleh pihak Universiti,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, perkhidmatan bantuan guaman sedia ada ini perlu diperkasa untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan akses kepada keadilan (access to justice) terutamanya dalam kalangan golongan B40.

"Bantuan guaman dan khidmat nasihat dalam kes jenayah harus mudah diakses oleh mana-mana warganegara Malaysia serta kanak-kanak warganegara asing di peringkat tangkapan, reman, permohonan ikat jamin dan mitigasi oleh peguam," katanya.

Selaras dengan itu Azalina berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang kementeriannya menganjurkan bengkel selama dua hari mulai hari ini bagi membincangkan perkara itu.

Menurutnya program libat urus dengan kerjasama Bantuan Guaman, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan dan Bar Council itu bertujuan mendapatkan maklum balas bagi menambah baik perkhidmatan bantuan guaman di negara ini.

"Antara objektif penganjuran program itu ialah meneliti keperluan untuk menggubal Akta Pembelaan Awam dan cadangan mewujudkan Pejabat Pembelaan Awam (Public Defender's Office) bagi menambahbaik serta mereformasikan perkhidmatan bantuan guaman kes jenayah di Malaysia," katanya.