Kerajaan disaran tumpu isu anak-anak tanpa kerakyatan babitkan ibu warga asing
MCA menyarankan kerajaan supaya turut memberi perhatian terhadap isu anak-anak tanpa kerakyatan membabitkan bapa warga Malaysia dalam usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyelesaikan sekurang-kurangnya 10,000 permohonan status kewarganegaraan.
Timbalan Pengerusi Biro Komunikasi dan Diplomasi Antarabangsa MCA Neow Choo Seong juga merayu agar kerajaan turut memandang serius isu membabitkan anak tanpa kerakyatan automatik yang dilahirkan oleh ibu warga asing bersama pasangan warganegara di Malaysia.
"Kebanyakan kes ini melibatkan pasangan yang lambat mendaftar daftar perkahwinan. “Terdapat juga kes di mana si ibu melarikan diri ke negara masing-masing seperti Thailand, Vietnam, Indonesia dan Kemboja setelah melahirkan anak.
"Keadaan ini menyebabkan anak yang dilahirkan tidak dapat menikmati kehidupan yang sempurna dan menyukarkan perjalanan hidup mereka setelah meningkat dewasa.
"Pada usia kecil, mereka tidak dapat kemudahan seperti rakan-rakan sebaya termasuk mendapatkan pendidikan.
“Apabila dewasa, mereka sukar untuk mendapatkan pekerjaan dan menjalani kehidupan biasa seperti orang lain tanpa kerakyatan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Saranan itu susulan kenyataan menteri KDN Saifuddin Nasution Ismail yang memaklumkan kerajaan menyasarkan untuk meluluskan 10,000 permohonan menjadi warganegara Malaysia.
Media melaporkan menurutnya, sehingga kini sebanyak 6,000 permohonan telah diluluskan.
Sementara itu mengulas lanjut Neow berkata kesilapan teknikal pasangan ibu dan bapa yang lambat mendaftar perkahwinan mereka tidak boleh diletakkan di atas bahu anak-anak untuk menanggungnya.
Jelasnya, anak yang dilahirkan tidak mengerti dan tidak boleh dipersalahkan dan dihukum dengan tidak diberikan status kewarganegaraan.
"Justeru, MCA merayu kerajaan menerusi KDN turut menyelesaikan isu ini dengan penuh komited. Bagi membantu kerajaan, MCA bersedia menghulurkan tangan.
"Sesiapa sahaja yang mengalami masalah tanpa berkesudahan seperti yang dinyatakan, boleh hubungi ibu pejabat MCA di talian 03-22033888 atau mana-mana pejabat MCA di seluruh negara dan majukan permohonan kepada saya.
"Saya akan kumpulkan semua permohonan dan akan melakukan tindakan susulan bagi menyelesaikan masalah ini," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/03/a06d1ff901ec3afcee6fe689ec9643bd.jpg)
