Percubaan halang calon PKR serah borang pencalonan, kata AMK
Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) mendakwa kekecohan yang berlaku semasa hari penamaan calon pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok semalam merupakan satu percubaan untuk menghalang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) daripada menyerahkan borang pencalonan beliau.
Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) mendakwa kekecohan yang berlaku semasa hari penamaan calon pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok semalam merupakan satu percubaan untuk menghalang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) daripada menyerahkan borang pencalonan beliau.
Sehubungan itu, pemangku ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin mendakwa, halangan terhadap calon PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim oleh Pemuda Barisan Nasional (BN) semalam, telah dirancang lebih awal sebagai provokasi awal terhadap penyokong PKR.
"AMK menegaskan bahawa budaya samseng telah ditunjukkan dan digalakkan oleh pemuda BN dengan beberapa insiden yang tidak diingini dilakukan oleh anggota mereka sendiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Oleh itu, katanya, AMK, menyifatkan kenyataan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin bahawa PKR sengaja berarak untuk bertembung dengan penyokong BN sebagai tidak berasas sama sekali.
Sebaliknya, Shamsul Iskandar berkata, pihak telah mendapatkan penjelasan daripada Setiausaha Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sendiri, Datuk Kamaruzaman Mohd Noor bagaimana tidak ada laluan perarakan yang berlainan sepertimana yang biasanya semasa hari penamaan calon semalam.
"Beliau memaklumkan kepada AMK bahawa penerangan telah diberikan kepada kedua-dua parti yang akan bertanding dan beliau mengesahkan laluan perarakan oleh PKR adalah betul sepertimana yang dirancang," katanya.
Kekecohan berlaku di luar pusat penamaan calon bagi pilihanraya kecil Ijok pagi semalam yang membabitkan penyokong Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.
Laporan polis
Polis, dengan bantuan anggota Unit Simpanan Persekutuan, bertindak pantas memisahkan penyokong kedua belah pihak yang berasak-asak di situ bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.
Insiden itu berlaku di luar Dewan Orang Ramai Batang Berjuntai, tempat proses penamaan calon diadakan apabila penyokong kedua belah pihak mengejek satu sama lain.
Berikutan itu, berlaku insiden membaling botol air. Dipercayai beberapa orang tercedera dalam kejadian tersebut.
Sementara itu, Shamsul Iskandar berkata, AMK adalah parti politik pertama membuat dua laporan polis sejurus selepas proses penamaan calon semalam, masing-masing oleh Zainurin Jiman pada jam 12.32 tengahari dan Zulkanaine Kassim pada jam 12.51 tengahari.
Shamsul mendakwa, Zainurin telah ditumbuk di bahagian pipi kiri manakala Zulkanaine pula dibaling dengan kayu.
"AMK percaya kedua-dua laporan polis di atas akan disiasat di bawah Seksyen 323 (mendatangkan kecederaan dengan sengaja) dan 336 (membahayakan nyawa dan keselamatan diri) Kanun Keseksaan.
"AMK memberi amaran kepada Khairy dan konco-konconya untuk tidak bertindak di luar batas undang-undang kerana AMK tidak akan teragak-agak untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap mereka," katanya.

