mk-logo
Berita
Najib tidak akan kembalikan zaman kegemilangan Umno - Lim
Diterbitkan:  Apr 16, 2023 1:11 PM
Dikemaskini: 5:19 AM

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang tidak percaya bekas perdana menteri Najib Razak akan dapat mengembalikan zaman kegemilangan Umno selepas kekalahan parti itu dalam dua pilihan raya lalu.

Sebaliknya, dia percaya satu-satunya cara untuk memulihkan Umno ke zaman kegemilangannya ialah parti itu kembali kepada prinsip dan dasar asal pembinaan negara.

“Ada pihak yang percaya bahawa cara untuk Umno mendapatkan semula sokongan pilihan raya dahulu adalah dengan mendapatkan pengampunan untuk Najib,” katanya.

Menurut Lim, dia tidak bersetuju dengan pendapat sedemikian kerana jika ia berlaku, Umno tidak akan mempelajari daripada kesilapannya pada PRU14 dan PRU15.

“Saya percaya satu-satunya cara untuk memulihkan Umno sebagai parti politik terkemuka ialah memainkan peranan utama dalam menetapkan semula dan mengembalikan Malaysia kepada prinsip dan dasar pembinaan negara asal untuk negara majmuk, yang mendapat sokongan empat presiden Umno terawal - Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein dan Hussein Onn.

“Ini termasuk mengetuai usaha memerangi rasuah di Malaysia dan memulihkan kebebasan kehakiman,” kata Lim pada satu kenyataan hari ini.

Kata Lim, Umno mula kehilangan sokongan rakyat pada PRU14 dan kemudiannya ditolak pengundi Melayu pada PRU15, menyebabkan parti itu ketinggalan di belakang PAS dan Bersatu.

Kenyataan Lim itu dibuat selepas Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi berkata pemimpin PH termasuk Lim dan Hassan Karim takut kemungkinan Najib keluar dari penjara.

Jelas Puad, ini kerana Umno akan bertambah kuat melalui gabungan teraju kepimpinan Najib-Ahmad Zahid Hamidi.

Kedua-dua Lim dan Hassan sebelum ini menyuarakan bantahan mereka terhadap pengampunan diraja kepada Najib, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana rasuah dalam kes SRC International.

Semalam, Lim memberi amaran bahawa pentadbiran Anwar Ibrahim boleh runtuh sekiranya Najib diberikan pengampunan diraja, manakala Hassan sebelum ini berkata kerajaan akan berdepan dengan masalah besar jika Najib diberi pengampunan diraja.

Dalam pada itu, Puad pula mendakwa DAP menjadi punca keruntuhan pentadbiran PH pada 2020, berkata parti itu menjadi punca utama Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mendalangi Langkah Sheraton.

"Sebenarnya DAP boleh jadi punca kerajaan perpaduan runtuh...bukan Najib atau Zahid.

"Bukan mudah Umno betulkan dasar 'No DAP No Anwar'.

“Gelagat DAP dan menterinya umpama bom jangka," kata Puad.

Minggu lalu, MKT Umno sebulat suara memutuskan untuk memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk Najib, yang kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disabit bersalah dalam kes rasuah SRC International.

Umno juga akan menghantar memorandum yang ditandatangani oleh semua 191 pemimpin bahagian parti itu kepada Agong.

Lihat Komen
ADS