Bestinet Sdn Bhd menuntut bekas ahli parlimen Klang Charles Santiago memohon maaf menarik balik kenyataannya mendakwa syarikat itu dikawal oleh "broker buruh utama".

Syarikat itu melahirkan kekecewaan terhadap dakwaan "tidak benar" dan "mengelirukan" Charles, mengatakan ahli politik DAP itu "jelas salah maklumat" mengenai sifat perniagaan syarikat mereka.

“Bestinet ingin menjelaskan bahawa semua perkara berhubung proses pengambilan pekerja asing, termasuk bilangan ejen pengambilan, dibincangkan dan dipersetujui pada peringkat kerajaan ke kerajaan antara kerajaan Malaysia dan negara sumber buruh.

“Pengurusan Bestinet, termasuk pengasas, tidak terlibat dan tidak mengambil bahagian dalam proses ini.

“Bestinet memandang serius dakwaan ini dan berhak untuk mengambil semua langkah yang perlu untuk menuntut ganti rugi dan kerugian daripada dakwaan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Charles mengulangi gesaan agar kerajaan menamatkan portal Bestinet bagi menjadikan proses pengambilan pekerja asing telus.

Charles Santiago

Bestinet ialah portal yang mentadbir sistem pengurusan warga asing kerajaan.

Charles juga mendesak agar Pejabat Perdana Menteri mengendalikan pengambilan pekerja asing, bukannya Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia.

Bestinet berkata mereka sebagai syarikat IT yang membangunkan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing untuk kerajaan menafikan bahawa ia bertindak sebagai agensi pengambilan pekerja.

Syarikat itu juga menafikan ia terlibat dalam proses pengambilan pekerja asing di Malaysia atau mana-mana negara sumber buruh, termasuk Bangladesh.

Pengasas Bestinet disiasat

Pada Julai tahun lalu, dilaporkan SPRM menyerbu ibu pejabat Bestinet, menyiasat pemilihan 25 agensi pengambilan pekerja Bangladesh yang ditugaskan membekalkan pekerja di negara ini.

Menurut laporan The Vibes yang memetik laman berita Bangladesh, pengasas Bestinet - warga Bangladesh - tidak ditahan.

Bagaimanapun, pengasas itu antara beberapa yang lain disoal siasat berhubung proses pemilihan agensi pengambilan pekerja.

Laporan itu, yang memetik sumber diplomatik Malaysia, berkata pengasas itu juga disiasat kerana kaitannya dengan beberapa ahli politik - termasuk menteri kabinet.

Walaupun tidak disebut 25 syarikat yang diakreditasi untuk pengambilan pekerja dalam kenyataan Charles semalam, Bestinet menjelaskan bahawa Putrajaya sebenarnya telah mengakreditasi 100 syarikat.

“Bestinet komited untuk menjalankan perniagaannya secara bertanggungjawab dan tidak terlibat dalam amalan perniagaan yang tidak beretika.

"Matlamat syarikat adalah untuk menjadi kehadiran positif dalam pasaran di mana ia beroperasi dan untuk menyokong kerajaan dalam membolehkan persekitaran yang telus, adil dan bebas penyalahgunaan untuk pekerja asing," tambahnya.