Peguam terkemuka Karpal Singh menawarkan khidmat guaman kepada malaysiakini jika disaman oleh Ketua Menteri Sarawak berhubung penyiaran artikel mengenai dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan beliau dan keluarganya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti itu komited dalam melindungi kebebasan akhbar.

"Saya telah berbincang dengan peguam DAP, termasuk pengerusinya dan peguam terkemuka Karpal Singh, mereka bersetuju menawarkan khidmat guaman kepada malaysiakini untuk mencabar saman itu.

"Kepentingan awam memerlukan kes ini dimenangi bagi mempertahankan saki baki kebebasan maklumat dalam ruang siber di Malaysia," kata Lim.

Dalam surat peguam yang dihantar semalam, Taib menuntut supaya beberapa artikel dalam malaysiakini yang mengandungi dakwaan rasuah terhadapnya ditarik balik.

Taib berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap malaysiakini sekiranya ia enggan berbuat demikian dalam tempoh 48 jam.

Dalam surat yang dihantar dengan tangan ke pejabat malaysiakini di Bangsar Utama, Kuala Lumpur semalam, Taib mengenalpasti lapan artikel yang didakwanya berunsur fitnah.

Saman Japan Times ?

Artikel-artikel tersebut yang disiarkan antara 6 hingga 14 April lalu mendakwa Taib telah dikaitkan dalam skandal membabitkan sogokan RM32 juta yang dibayar oleh firma-firma perkapalan Jepun yang mengangkut balak dari negeri tersebut.

Lapan artikel tersebut merupakan berita susulan kepada laporan akhbar Japan Times pada 29 Mac lalu.

Dalam reaksinya, Ketua Pengarang malaysiakini , Steven Gan berkata, portal berita tersebut akan mencabar saman tersebut.

Sementara itu, Lim bertanya sama ada ketua menteri Sarawak itu juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar Japan Times berhubung laporan tersebut.

Katanya, tindakan undang-undang itu tidak sepatutnya diambil terhadap malaysiakini sahaja, tetapi Taib juga harus mengambil tindakan yang sama terhadap akhbar Japan Times yang merupakan sumber asal berita yang mengandungi dakwaan rasuah terhadapnya.

"Bagi Taib tidak menyaman Japan Times tetapi hanya malaysiakini mengelirukan kerana malaysiakini hanya melaporkan berita asal daripada Japan Times ," katanya. Berita asal