Nik Razi Nik Mat, adik bongsu bekas mursyidul am PAS Nik Aziz, meninggal dunia pagi ini.
PAS mengucapkan takziah buat keluarga besar Nik Aziz Nik Mat atas kehilangan Nik Razi dan menyifatkannya sebagai kehilangan besar buat ummah.
Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin berkata allahyarham berjasa besar di medan dakwah.
“Sesungguhnya kita semua milik Allah dan kepada-Nya kita semua kembali.
“Semoga roh Almarhum Tuan Guru Nik Razi dirahmati Allah dan ditempatkan bersama orang yang soleh.
Amin,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kerajaan negeri Kelantan juga menzahirkan ucapan takziah kepada anggota keluarga Nik Razi melalui media sosial menteri besarnya.
"Almarhum yang juga adinda kepada almarhum Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi sumbangan yang begitu besar khususnya dalam bidang dakwah dan pendidikan kepada masyarakat.
"Semoga Allah SWT membalas segala jasa yang dicurahkan, mengampunkan dan merahmatinya di sisi para solihin," katanya.
Anak Nik Aziz, Nik Abduh berkata solat jenazah akan diadakan selepas solat Asar petang ini di masjid Tok Guru di Pulau Melaka.
Nik Razi yang juga tokoh ulama Kelantan dilapor meninggal dunia selepas diuji sakit dan terlantar hampir empat bulan.
