TI-M gesa kerajaan paksa MP isythar aset, pendapatan ke SPRM
Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa kerajaan supaya memastikan semua ahli Parlimen mengisytiharkan harta mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Presiden TI-M Muhammad Mohan, berkata satu undang-undang seperti Akta Pengisytiharan Aset perlu diperkenalkan bagi membolehkan ahli politik dan mereka yang memegang jawatan untuk mengisytiharkan dan mengemas kini kekayaan mereka secara berkala.

“Seperti yang telah dibangkitkan sebelum ini, kita perlu mendesak supaya satu Rang Undang-undang dibentangkan di Parlimen dalam bentuk Akta Pengisytiharan Aset atau statut lain yang serupa untuk memastikan semua ahli Parlimen yang dipilih dan senator yang dilantik mengisytiharkan aset, liabiliti dan pendapatan mereka.
"Mereka yang kekayaannya meningkat dengan ketara dalam tempoh yang singkat mesti dipaksa untuk memberikan penjelasan dengan maklumat sokongan yang diperlukan.
"Apabila membuat pengisytiharan ini, adalah sama pentingnya bahawa mereka mesti memasukkan maklumat berkaitan pemilikan bermanfaat aset bagi mengelak amalan bersekongkol dengan pihak mesra bagi mengelak dikesan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

TI-M menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya memastikan undang-undang pengisytiharan aset ini sebagai sebahagian agenda reformasi bagi memastikan pentadbirannya mengamalkan tadbir urus yang baik dan membanteras sebarang bentuk rasuah dalam kalangan wakil rakyat dan senator.
"Sesetengah ahli politik telah mengatakan bahawa mereka enggan mengisytiharkan aset dan pendapatan mereka atas sebab privasi atau kebimbangan keselamatan, tetapi TI-M mengingatkan semua ahli politik bahawa mereka yang memilih kerjaya mereka.
"Oleh itu, mereka perlu sedar bahawa sebagai wakil rakyat mereka diharapkan telus dalam tindakan mereka dengan mengamalkan integriti pada setiap masa," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/04/4b6c650a1da994b3a10e2984a89307df.jpg)
