PKR cadang adakan perbahasan antara Khalid-Parthiban
Calon Parti Keadilan Rakyat Tan Sri Khalid Ibrahim mencadangkan supaya diadakan satu perbahasan di kawasan Dewan Undangan Negeri Ijok antara beliau dan calon Barisan Nasional (BN) K Parthiban tentang perancangan pembangunan ekonomi masing-masing.
Calon Parti Keadilan Rakyat Tan Sri Khalid Ibrahim mencadangkan supaya diadakan satu perbahasan di kawasan Dewan Undangan Negeri Ijok antara beliau dan calon Barisan Nasional (BN) K Parthiban tentang perancangan pembangunan ekonomi masing-masing.
Khalid berkata, perbahasan itu membolehkan masyarakat Ijok membuat penilaian wawasan kedua-dua calon seperti perbahasan umum yang sering diamalkan negara maju untuk memilih pemimpin, demikian menurut laporan Bernama.
Mengenai sumbangannya kepada penduduk Ijok ketika berjaya dalam bidang korporat dahulu, Khalid berkata, beliau telah menubuhkan Yayasan Basmi Kemiskinan di Kuala Selangor yang mempunyai bangunan sendiri sejak sepuluh tahun dulu.
"Semasa di Guthrie (sebagai Ketua Pegawai Eksekutif) saya ada membuat program `Rakan Jaya Diri' iaitu mengambil penduduk miskin di sini menjalani latihan kemahiran sebelum mendapatkan pekerjaan serta mengadakan kelas tambahan percuma untuk pelajar sekolah," katanya.
Menurut Bernama lagi, calon PKR itu tidak begitu berminat membincangkan isu pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu dalam kempennya.
Bercakap dalam sidang akhbar di pejabat parti itu, Khalid beranggapan isu pembangunan di Ijok lebih penting dan mahu memberikan lebih tumpuan terhadapnya.
"Saya ingin fokus kepada isu pembangunan di Ijok, tentang isu Altantuya, biarlah rakan-rakan saya yang lain mengulasnya. Jika kamu (wartawan) mahu saya mengulasnya juga, tunggulah selepas pilihan raya," katanya.

