Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan Kelantan juga sokong Rumah Terbuka Malaysia Madani
Diterbitkan:  Apr 23, 2023 2:52 PM
Dikemaskini: 6:52 AM

Selepas kerajaan negeri Terengganu menyatakan sikap terbuka dan akan menghulurkan bantuan bagi menyambut Aidilfitri menerusi penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani, hari ini giliran kerajaan negeri Kelantan pula yang meluahkan sokongannya.

Menteri Besar Ahmad Yakob berkata, pihaknya sudah menerima surat daripada kerajaan persekutuan yang memaklum majlis bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang akan berlangsung di Kota Bharu, pada 12 Mei depan.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya sudah menerima surat daripada kerajaan persekutuan yang memaklum perkara tersebut.

Menurutnya, majlis tersebut akan dikendalikan sepenuhnya oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

“Kita (Kerajaan Negeri) tidak mempunyai halangan (Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri).

“Hubungan antara negeri dan persekutuan mesti wujud,” katanya yang dipetik akhbar Utusan Malaysia, hari ini.

Menurut Ahmad, kerajaan negeri juga dijemput dalam segala persiapan yang dilakukan oleh pihak Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Mengulas jika penganjuran majlis berkenaan dikatakan mempunyai kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ahmad enggan mengulas.

Sebaliknya, kata menteri besar, walaupun berbeza parti namun Kelantan lebih melihat kepada hubungan erat antara antara kerajaan negeri dengan persekutuan.

Semalam, Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar mengalu-alukan kedatangan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim serta kabinet ke negeri itu.

Malah, katanya, perbezaaan parti politik yang memerintah di peringkat negeri dan pusat bukan halangan untuk mereka bekerjasama.

Buat pertama kali dalam sejarah majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri yang lazimnya diadakan pada 1 Syawal akan diadakan di luar Lembah Klang dan pada tarikh berbeza.

Selain Terengganu, Kedah, dan Kelantan, majlis serupa juga akan diadakan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Lihat Komen
ADS