Pertandingan sengit dijangka berlaku dalam perebutan pucuk pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dalam kongres nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) bulan depan.

Ini berikutan AMK kini telah berpecah kepada tiga kumpulan selepas bekas ketua pergerakan itu, Ezam Mohd Noor melepaskan jawatan November lalu.

Perkara itu disahkan oleh Ketua PKR bahagian Parit Sulong, Hasmi Hashim yang akan bertanding jawatan ketua AMK bulan depan.

Katanya, kumpulan pertama membabitkan pemangku ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin dengan SD Johari Mohd Yassin (setiausaha AMK); kumpula kedua Badrul Hisham Shaharin (penyelaras AMK) dengan Feriz Musa (exco AMK) dan kumpulan ketiga membabitkan Hasmi dan Nurul Izzah Anwar.

Mereka dijangka menawarkan diri untuk bertanding jawatan ketua dan timbalan ketua AMK dalam kongres nasional PKR di Seremban bulan depan.

Hasmi berkata, kumpulan tersebut mempunyai agenda masing-masing sekiranya menang dalam pemilihan bulan depan.

"Saya rasa Nurul Izzah perlu diberi peluang dan ruang sepenuhnya untuk beliau bergerak aktif dalam politik PKR.

"Hari ini, Puteri Reformasi itu kadangkala tersisih dari kepimpinan AMK semata-mata kerana dia anak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dan Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, sedangkan PKR bukan parti keluarga," katanya.

Pulihkan bahagian

Dalam temubual dengan malaysiakini minggu lalu, Hasmi berkata, pemimpin muda yang kurang dikenali seperti Lee Khai Loon, Amiruddin Shaari dan Zamaksari Ibrahim, juga perlu diketengahkan bagi mengisi kekosongan barisan kepimpinan pemuda.

Sementara itu, Hasmi berkata, banyak cawangan dan bahagian AMK di seluruh negara tidak aktif hingga menjejaskan kekuatan parti itu menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Katanya, ia berlaku kerana AMK tidak menyusun perjuangan dari peringkat awal, terutama ketika perjuangan pemuda memuncak ketika era reformasi.

"Bagi saya secara umum AMK berada dalam keadaan yang lemah dan ini menyebabkan tidak ada aktiviti yang dibuat di peringkat bahagian.

"Sebenarnya ia berkait rapat dengan ketiadaan kesinambungan aktiviti selepas era reformasi yang memuncak pada akhir 1990-an," katanya.

Sehubungan itu, katanya, pucuk pimpinan parti perlu mengambil langkah segera untuk menggiatkan semua aktiviti di bahagian terbabit.

"Saya mencadangkan penubuhan Akademi Anwar Ibrahim untuk melahirkan pemimpin muda di peringkat cawangan dan bahagian AMK di seluruh negara," katanya.

PKR mempunyai 167 bahagian di seluruh negara dan akan mengadakan kongres nasional di Seremban bulan depan dan dijangka beberapa jawatan utama dipertandingkan.