Laporan yang didedahkan oleh pasukan penyiasat Government Aircraft Factories (GAF) Australia mengenai nahas pesawat yang dikenali sebagai 'double six' pada 1976 menyokong penemuan siasatan bahawa bahagian belakang pesawat itu terlebih muatan.

Ini menyebabkan kedudukan pesawat tidak seimbang dan terangkat ke atas hingga berlaku masalah apabila flap dikeluarkan untuk mendarat di Lapangan Terbang Kota Kinabalu akibat muatan melebihi had.

Nahas pesawat pada 1976 itu mengorbankan 11 orang, termasuk ketua menteri Sabah ketika itu Fuad Stephens. Nahas itu juga sekian lama menjadi subjek kontroversi dan spekulasi.

Laporan dari Australia itu didedahkan selepas permohonan dibuat oleh peguam bekas ketua menteri Sabah, Harris Mohd Salleh.

Menurut laporan itu, lokasi bagasi itu hanya dilihat sekilas pandang semasa ia dimuatkan, dan beratnya tidak dihitung.

Selain itu, muatan ruang bagasi di bahagian belakang diawasi oleh pembantu juruterbang yang tidak layak untuk menerbangkan GAF Nomad N22B dan hanya menemani juruterbang Gandhi Nathan atas pelawaannya.

Pembantu juruterbang itu tidak menaiki pesawat berkenaan bagi memberi ruang kepada penumpang tambahan di tempat duduk pembantu juruterbang.

Seperti laporan yang dikeluarkan oleh Malaysia, pasukan Australia juga menuding jari kepada juruterbang pesawat Gandhi - yang dikatakan mempunyai kemahiran di bawah standard dalam menerbangkan pesawat Nomad itu.

‘Gandhi terbangkan pesawat sebab Fuad’

Menariknya, laporan GAF juga mencadangkan Fuad mungkin ‘secara tidak sengaja’ menyebabkan Gandhi masih layak menerbangkan pesawat itu.

Laporan itu menyatakan bahawa ketua juruterbang Sabah Air, M Nadan pada mulanya mendapati juruterbang itu tidak bersedia menerbangkan pesawat Nomad dengan selamat untuk membawa penumpang. memandangkan Gandhi berulangkali gagal memberi respons yang diperlukan kepada simulasi kecemasan ketika pemeriksaan penerbangan.

Bagaimanapun, ia berkata selepas Fuad memegang jawatan enam minggu sebelum kemalangan itu, beberapa kakitangan bukan warga Malaysia termasuk Nadan telah diberhentikan, dan "Kapten Wahab" dilantik sebagai pengurus besar syarikat penerbangan itu.

Wahab dan Gandhi dikatakan bekas rakan serumah dan kawan baik, menurut laporan itu.

Laporan itu menyebut Nadan sebagai mendakwa bahawa Wahab telah mengeluarkan laporan penerbangan terakhir Gandhi daripada failnya.

Nadan juga mendakwa Gandhi mengalih keluar laporan daripada failnya sendiri, manakala Wahab mendakwa bahawa Nadan telah menganiaya Gandhi.

"Mungkin ada kebenaran dalam kenyataan Nadan ini kerana kajian terhadap buku log Ghandi mendedahkan bahawa banyak lagi pemeriksaan penerbangan telah dijalankan ke atasnya bahawa terdapat laporan ujian penerbangan dalam failnya," menurut laporan GAF.

Sementara itu, GAF juga mendapati Sabah Air pada asasnya "beroperasi secara haram" kerana manual operasinya belum diluluskan oleh Jabatan Penerbangan Awam (CAD) ketika itu.

Bagaimanapun, pasukan Australia juga mendapati bahawa CAD telah gagal memenuhi sepenuhnya obligasi mereka sebagai pihak berkuasa penerbangan.

‘Kemalangan pasti berlaku"

Bagaimanapun, pasukan Australia juga mendapati CAD gagal memenuhi sepenuhnya obligasi mereka sebagai pihak berwibawa yang bertanggungjawab memberikan kelulusan.

Mereka menyatakan “kemalangan pasti berlaku sama ada cepat atau lambat disebabkan oleh kelemahan CAD dan Sabah Air.

Berbeza dengan laporan Malaysia yang mengatakan Sabah Air tidak pernah memohon kelulusan daripada CAD untuk mengendalikan Nomad, laporan dari Australia menyatakan Sabah Air mengemukakan draf manual operasi pesawat pada penghujung tahun 1975 seperti yang dikehendaki oleh CAD.

Mereka mengatakan draf manual itu mengandungi maklumat yang tidak tepat dan tidak mengikut manual penerbangan GAF dengan cara yang akan memberi kesan buruk pada prestasi pesawat.

Berdasarkan temu bual dengan juruterbang Nomad milik Sabah Air yang lain, pasukan Australia juga mendapati ia adalah amalan biasa untuk "melihat sahaja" beban bagasi, bukannya menimbang dan menggunakan carta pembebanan seperti yang ditetapkan dalam manual penerbangan.

"Apabila ditanya tentang penggunaan carta pembebanan dalam manual penerbangan, beliau (juruterbang Sabah Air) berkata mereka tidak menggunakannya kerana terlalu sukar difahami," menurut laporan itu.

Laporan tersebut juga mencatatkan tandas pesawat telah dikeluarkan dan ruang penumpang telah diubahsuai.

Walaupun perubahan ini mempengaruhi berat pesawat, perubahan ini tidak dicerminkan dalam carta pembebanan atau manual penerbangan pesawat.

Carta pembebanan adalah dokumen yang digunakan untuk mengeluarkan dan menganggarkan berat penumpang dan kargo pesawat, agihan berat serta pusat graviti pesawat.

Laporan oleh Malaysia menyatakan Gandhi tidak menyediakan carta pembebanan untuk penerbangan tersebut.

Kedua-dua laporan dari Malaysia dan Australia setuju bahawa ruang penumpang belakang pesawat terlebih muatan, dan ini telah mengalihkan pusat graviti pesawat ke belakang melebihi had yang ditetapkan oleh GAF.

Ini menjadikan pesawat memiliki kecenderungan untuk melengkung ke atas yang membuatnya tidak stabil, dan bertambah buruk ketika pesawat mengeluarkan flap untuk mendarat di lapangan terbang Kota Kinabalu.

Tanpa carta pembebanan, berat dan pengagihan berat pesawat telah dianggarkan berdasarkan bagasi yang ditemui di tapak nahas.

Seperti laporan dari Malaysia, laporan dari Australia juga menafikan kebakaran atau sabotaj sebagai punca nahas..

"Pemeriksaan secara teliti dan sabar oleh R Williams dari Pihak Berkuasa Penerbangan Awam UK terhadap kepingan pesawat tidak menemukan bukti kerosakan atau kegagalan pada komponen atau struktur pesawat sebelum kecelakaan,” menurut laporan tersebut.

Sabotaj disyaki berlaku berikutan kehadiran ramai ahli politik berpangkat tinggi seperti Fuad dan menteri negeri Salleh Sulong, Peter Mojuntin, dan Chong Thien Vun.

Turut terkorban ialah anak sulung Fuad, Johari Stephens yang berada di tempat pembantu juruterbang.

Insiden tersebut memicu banyak teori konspirasi, termasuk dakwaan sabotaj dan campur tangan kerajaan persekutuan dalam hal negeri.

Malaysia menjadikan laporan mengenai siasatan nahas itu sebagai rahsia rasmi sehingga Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pada 5 April lalu bahawa laporan itu akan didedahkan.

Keputusan itu dibuat susulan arahan mahkamah pada 8 Mac lalu agar kerajaan mendedahkan laporan tersebut menjelang 8 Jun, walaupun isu itu dilihat berlarutan apabila kerajaan merayu keputusan itu.

Australia sebelum ini menolak untuk mendedahkan laporan negara itu atas alasan bahawa Malaysia belum memperlihatkan laporannya.