ULASAN | Bersajak kepada air Kelantan
ULASAN | Sekitar sebulan lalu ada seorang rakan saya merintih dan meluah kecewa akan layanan syarikat pengendali air Kelantan terhadap masalah dihadapinya.
Pada saya itu perkara biasa - masalah air bukan saja ada di Kelantan, malah mana-mana negeri pun sama. Sayugia orang sekarang suka berkata-kata di media sosial.
Rakan saya itu sudah tentulah orang Kelantan, tinggal di Kelantan, dan mencari makan di Kelantan. Paling penting pastinya rakan saya itu penyokong kerajaan Kelantan.
Tetapi bagusnya dia, walaupun tegar menyokong kerajaan negeri, apabila menghadapi masalah air, dia tidak berdiam diri seakan-akan reda dengan masalah yang ada kerana Kelantan masih ditadbir oleh ulama.
Rakan saya itu tetap akan bising-bising di media sosial. Dia akan merungut, melepaskan geram, dan mengkritik malah pada ketika tertentu kemarahannya itu kelihatan seolah-olah sedang bercakap dengan lembaga yang menguruskan air Kelantan.
Rakan saya itu seorang peniaga pokok-pokok bunga seingat saya, dan sudah tentulah kelangsungan bekalan air sangat penting kepadanya. Ia kira-kira sama saja dengan kepentingan air harian yang kita semua sedia maklum.
Penduduk yang bergantung bekalan syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) pasti merungut setiap kali terputus bekalan air. Sebagai penduduk Kelantan sudah tentu saya juga demikian.
Jika bekalan terputus, saya akan telefon talian aduan untuk buat laporan, kemudian akan datang seorang kakitangannya bertanya: "Tak dok air ke?"
Lelah di Aidilfitri
Saya kemudian akan menjawab dengan sopan: "Kalau ada air saya takkan buat aduan". Dan kakitangan AKSB yang taat itu pun berlalu selepas menyatakan dia akan memeriksa tangki utama.
Dua bulan lalu kawasan perumahan yang saya diami agak kerap terputus bekalan air. Ia menjadi lebih melelahan apabila pada kebanyakan masa ia berlaku ketika waktu hampir senja, maksudnya menjelang datangnya Magrib.
Ia waktu kemuncak nan suntuk untuk mempersiapkan diri bertemu malam. Biasanya pada waktu sebegitu orang perlu mandi, mengambil wuduk dan memasak.
Kami akan bernasib jika baik air dalam tong simpanan masih berbaki, dan akan kelam-kabut mencari air jika keadaan adalah sebaliknya. Antara alternatif yang ada ialah bergegas ke rumah nenek, ayah atau mentua untuk mendapatkan 'talian hayat'.
Suatu senja apabila raya geram memuncak kerana sekali lagi berdepan dengan isu air, saya bersajak seadanya sebagai cara yang sedikit lain untuk menyampaikan keresahan kami kepada pihak pengurusan AKSB:
kini makin kerap terputus bekalan air
terutama menjelang malam.
bila tiba senja bekalan air terputus
dan senja tak pernah sama.
penduduk dimaklumkan ada masalah
pam tangki rosak
namun, entah senja yang mana
ia akan diselesai
dan senja tidak pernah sama.
Kira-kira begitulah bunyinya dan mesej itu. Keesokan harinya saya menerima respon apabila seorang pegawai menyatakan AKSB mengambil maklum akan aduan berkenaan.
Kemudian sejak itu - kejadian berlaku pada Feb lalu - saya pun bersyukurlah apabila kawasan taman perumahan kami tidak terputus bekalan air lagi sehingga hari ini. Kami rasa lega dan boleh beraya dengan tenang.
Saya fikir AKSB benar-benar bertindak dengan tuntas menyelesaikan masalah yang kami hadapi itu. Sayu rasanya.

Namun hakikatnya air bukan saja diperlukan di petempatan kami itu. Ada ramai lagi penduduk Kelantan yang kelelahan mengeluh dan mengharap agar masalah air masing-masing diselesaikan secara muktamad.
Kelelahan itu pasti sangat dirasakan ketika meraikan Aidilfitri.
Justeru ada bermacam-macam rungutan berdendangan di media sosial. Entah betul atau tidak saya kurang periksa. Sebagai insan yang selalu bersangka baik kepada kerajaan negeri, kadang-kadang saya fikir luahan dan rungutan tersebut tidak lebih daripada sekadar fitnah.
Lebih-lebih lagi apabila mengukur kecekapan AKSB menyelesaikan masalah kami selepas sebuah sajak dikirimkan kepada mereka. Maka layaklah saya berazam untuk terus memuji syarikat AKSB.
Cari air sendiri
Arakian dimaklumkan selain saya, pada bulan lalu seorang bekas guru dan penulis Kelantan turut merintih dengan puisi pendeknya menyentuh masalah bekalan air berlaku dikampungnya.
Antara lain Leo AWS berpuisi seperti berikut:
Ke masjid Dewan Beta
dari Kampung Atas Pengget
berjalan kaki;
krisis air
Kelantan.
Ramadan al-mubarak
benteng neraka;
alam barzah
akhirat.
Hantaran di Facebook itu diiringi dengan beberapa gambar memamparkan lori tangki menghantar bekalan air sama ada ke rumah Leo AWS atau masjid.
Kemudian Leo menulis lagi serangkap puisi berbunyi:
dek panas melampau
dedaun mengecut
Ramadan kemarau
tanpa air pancut.
Dia turut menghubungi saya supaya membuat laporan berita berhubung masalah dihadapi penduduk kampungnya. Leo AWS juga kemudian dari itu memaklumkan masalah penduduk 'selesai' selepas mereka menggali telaga tiub.
Sebagai penduduk Kelantan, sama ada saya atau Leo AWS pastinya kami berharap tidak perlu lagi berpuisi melirih tentang seksanya hidup tanpa air bersih. Biarlah kami ada sebab untuk sekurang-kurangnya memuji air Kelantan.
Sayugia diingatkan adalah tidak wajar sama sekali untuk membandingkan masalah air di Kelantan dengan negeri lain - Selangor misalnya - sebagai penanda aras kecekapan sesebuah kerajaan.
Sebelum membandingkan hal itu, elok juga diinsafi suatu perkara mudah: berapa ramai pengguna yang bergantung kepada bekalan disediakan AKSB di Kelantan dan berapa pula yang bergantung kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor)?

Mengikut maklumat terkini ASKB mempunyai sebanyak 274,337 akaun pengguna yang mungkin boleh dianggarkan mampu menampung sekitar lebih sejuta pengguna di Kelantan, manakala Air Selangor pula dilaporkan menampung kepoerluan melebihan lapan juta penduduk membabitkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Berdasarkan maklumat itu usahkan dibuat perbandingan secara sembrono dalam mengkritik, ia bukan sahaja tidak adil bahkan akan mengaibkan Kelantan.
Justeru marilah kita memuji kerja-kerja yang diusahakan AKSB, dan sambil itu bolehlah juga menulis puisi seperti Cikgu Leo.
Wallahua'lam.
N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysiakini yang pernah menjadi penghuni Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/01/3ac09b8b55bc3e7666c06802325a88f5.jpg)
