Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Demo jalanan akan tumbangkan Anwar' - NGO berkait PN
Diterbitkan:  May 1, 2023 6:41 PM
Dikemaskini: 10:44 AM

Kira-kira 12 orang berpakaian kuning, membawa belon kuning berkumpul di pusat bandar Kuala Lumpur hari ini menggesa perdana menteri digulingkan.

Bagaimanapun, ini bukan satu lagi perhimpunan Bersih yang sinonim dengan warna kuning, sebaliknya "pelancaran" gerakan oleh kumpulan berkaitan Perikatan Nasional Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Pengasas SAMM Badrul Hisham Shaharin, lebih dikenali sebagai Chegubard, sebelum ini berkata kumpulan itu akan mengadakan perhimpunan menentang kerajaan tidak lama lagi, tetapi menegaskan bahawa perhimpunan hari ini bukanlah acara sedemikian.

Bagaimanapun, dia menegaskan protes jalanan akhirnya akan membawa kepada kejatuhan Anwar.

"Melalui jalan raya Anwar naik, saya percaya melalui jalan raya Anwar akan diseret tumbang.

"Kita bukan nak jatuhkan kerajaan, kita nak tukar Anwar Ibrahim sahaja," katanya ketika berucap kepada pemberita di luar pusat beli-belah Sogo.

Namun, dia tidak menyatakan bila sebenarnya kumpulan itu akan menganjurkan perhimpunan menentang perdana menteri.

"Kita bukan nak jatuhkan kerajaan, kita nak tukar Anwar Ibrahim sahaja," katanya lagi.

Pergerakan itu, yang digelar "Tukar PM Segera," mendakwa Anwar gagal melaksanakan reformasi dan menangani peningkatan kos sara hidup serta menyokong rasuah dan nepotisme.

Badrul - yang juga ahli Bersatu - turut mendakwa bahawa "kontrak sosial" terhadap hak bumiputera dan Islam sedang dilemahkan.

Pengasas SAMM itu sebelum ini menjaja teori konspirasi perkauman bahawa polis cuba menutup aduannya terhadap Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Dia berkata ini kerana pegawai bukan Islam diletakkan untuk menyiasat laporan polis yang dibuatnya dan Yeoh. Bagaimanapun, polis menepis dakwaannya.

Bahan promosi untuk acara SAMM hari ini menggabungkan karya seni Anwar oleh artis grafik Fahmi Reza daripada buku mewarna 2015 mengenai tokoh politik itu.

SAMM telah menyunting karya seni untuk memberikan Anwar hidung badut, serta mata hitam.

Badrul berkata selaku perdana menteri kini Anwar telah menjadi "badut negara."

Lihat Komen
ADS