Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengimport telur gagal sampaikan writ saman kepada Azmin
Diterbitkan:  May 2, 2023 9:43 AM
Dikemaskini: 6:46 AM

Sebuah syarikat yang memfailkan saman fitnah sivil terhadap ahli politik Bersatu, Azmin Ali gagal menyampaikan writ tuntutan saman itu kepadanya secara peribadi.

Sehubungan itu, plaintif J&E Advance Tech Sdn Bhd memohon kepada mahkamah untuk menyampaikan kertas kausa ke atas Azmin melalui perkhidmatan gantian.

“Permohonan ini dibenarkan pada 28 April lalu dan mahkamah mengarahkan kami supaya menyerahkan kertas kausa ke atasnya dengan menyiarkan notis itu dalam akhbar The Star.

"Kami telah menghantar permohonan itu kepada pasukan pengiklanan The Star dan masih menunggu jawapan," kata peguam plaintif Elyse Ng Zi Qian kepada Malaysiakini.

Perkhidmatan gantian lazimnya hanya dibenarkan setelah plaintif telah berusaha sedaya mungkin untuk menyerahkan surat tuntutan berkenaan kepada defendan melalui cara tradisional.

Penyampaian ganti penyerahan dokumen dalam litigasi awam adalah dalam bentuk surat, iklan yang disiarkan dalam akhbar dengan edaran nasional atau apa-apa kaedah lain yang membolehkan prosiding mendapat perhatian defendan kerana penyerahan dokumen secara peribadi tidak dapat dilakukan.

Pada 3 April lalu, J&E Advance Tech cuba menghantar surat tuntutan ganti rugi RM20 juta kepada Azmin kerana mendakwa bahawa ahli perniagaan Deepak Jaikishan memperoleh kontrak kerajaan untuk mengimport telur melalui rundingan terus.

Syarikat itu mahu menyamin Azmin berhubung ucapannya pada perhimpunan “Ceramah Perdana: Solidariti Menentang Jenayah” yang diadakan di Dewan Dato Ustaz Gadzil Noor, Taman Melewar, Kuala Lumpur pada 11 Mac.

Azmin adalah Adun Bukit Antarabangsa dan pernah menjadi menteri kabinet yang memegang portfolio perdagangan antarabangsa dan industri.

Putrajaya sebelum ini telah membenarkan pengimportan bekalan telur dari India sebagai langkah sementara menangani kekurangan bekalan. 

Deepak sebelum ini menafikan dia mempunyai hubungan dengan J&E Advance Tech. Semakan maklumat syarikat itu dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendapati Deepak tidak disenaraikan sebagai pemegang saham mahupun sebagai pengarah dalam firma itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS