Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris menolak kemungkinan pembangkang berupaya menjatuhkan kerajaan dan mempersoalkan mengapa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim perlu melayan gosip sedemikian.

"Kenapa Anwar perlu memikirkan khabar angin atau gosip kecil di luar gelanggang. Sepatutnya dia tidak perlu fikir berapa angka yang pihak sebelah sana ada, sebab kerajaan dia sudah cukup kukuh iaitu 148 kerusi.

"Sangat sukar untuk pihak pembangkang mengatasi jumlah itu, ia bukanlah satu perkara mudah. Kecuali ketua pembangkang sendiri yang maklumkan kita ada angka mencukupi, barulah Anwar boleh cabar,” kata Razali seperti dipetik Berita Harian.

Semalam Anwar mencabar pembangkang membuktikan mereka mendapat sokongan majoriti pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

"Kenyataan Perdana Menteri itu ditujukan kepada Ketua Pembangkang (Hamzah Zainudin), namun ketua pembangkang tidak pernah membuat kenyataan mempunyai majoriti yang mencukupi," tambah Razali.

Razali yang juga seorang senator Dewan Negara turut menafikan pembangkang akan membentangkan usul undi tidak percaya di parlimen dan mengatakan perkara itu belum dibincangkan.

Khabar angin mengenai pertukaran kerajaan - atau perdana menteri - bermula sejak PH menjalinkan kerjasama dengan BN untuk membentuk kerajaan persekutuan susulan pilihan raya umum ke-15 tahun lalu.

Khabar angin itu timbul semula membabitkan dakwaan terdapat usaha mengadakan pilihan raya kecil di kerusi yang disandang wakil rakyat BN dengan cara mereka keluar parti.

Terbaharu, ahli majlis tertinggi Bersatu, Muhammad Faiz Na'aman cuba mencetuskan teki-teki dengan seolah-olah mendakwa PN memiliki ‘angka 126’.

Bagaimanapun Muahmmad Faiz tidak menjelaskan sama ada angka itu merujuk kepada bilangan ahli parlimen atau sebaliknya.

Sementara itu, Umno hari ini menafikan spekulasi bahawa beberapa ahli parlimennya akan mengosongkan kerusi mereka untuk memberi laluan kepada pilihan raya kecil.