Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri: Pihak guna pili bomba tanpa kebenaran perlu minta maaf
Diterbitkan:  May 8, 2023 8:11 PM
Dikemaskini: 12:11 PM

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata mana-mana pihak yang menggunakan pili bomba tanpa kebenaran perlu meminta maaf.

Nga merujuk kepada Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff yang mengambil air dari pili Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan pada 18 April lalu.

"Saya menyeru mana-mana pihak yang terlibat, saya tak nak sebut nama, walaupun sudah diketahui umum, wajib mohon maaf daripada bomba.

"Saya difahamkan oleh pegawai yang memang ada ahli parlimen tersebut dilaporkan media berkata dia ambil air itu dengan kebenaran bomba.

"Tapi dalam siasatan kita jelas, pengarah bomba negeri sahkan yang dia tidak ada sebarang kebenaran. Sebab itu, kelakuan menipu ini berdosa, jangan teruskan dosa macam ini memang tak baiklah," katanya dalam sidang media di Seremban, hari ini.

Semalam Siti Zailah menafikan dakwaan dia "mencuri" air dari pili bomba untuk kegunaan penduduk di kawasan Rantau Panjang, bahkan dia menegaskan tindakan tersebut sudah mendapat kebenaran daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Langkah tersebut, katanya, dibuat dengan kerjasama Balai Bomba Rantau Panjang.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Zainal Madasin, menafikan pihaknya ada memberi kebenaran.

Dalam pada itu Nga berkata tindakan terlibat dalam mencuri atau mengambil air pili bomba tanpa kebenaran adalah kesalahan di bawah Seksyen 26 Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

"Siapa-siapa yang nak ambil, air dari pili bomba perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pihak bomba.

"Jika ia dilakukan sewenang-wenangnya, apabila berlaku kebakaran pihak bomba akan mengalami kesukaran berkaitan tekanan air dan isi padu air tidak cukup. Rakyat yang akan dimangsakan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS