Bekas Ahli Parlimen Hulu Langat Hasanuddin Mohd Yunus dilantik sebagai pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang baru.
Agensi itu, yang terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri, berkata pelantikan tersebut diluluskan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Hasanuddin berpengalaman luas dalam bidang pengurusan dan hal ehwal masyarakat, sesuai dengan gerak kerja Yadim yang akan melibatkan dakwah kepada orang ramai.
“Mantan ahli Parlimen Hulu Langat ini juga sebelum ini aktif dalam aktiviti kemasyarakatan selain terlibat dengan badan badan bukan kerajaan,” kata agensi itu dalam catatan Facebook hari ini.
Hasanuddin, yang juga naib presiden Amanah, adalah antara empat penyandang ahli Parlimen yang digugurkan daripada barisan parti itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu.
Sementara itu, Yadim turut mengumumkan pelantikan Profesor Madya Adi Anuar Azmin @ Che Wan sebagai timbalan pengerusi.
Dia adalah pensyarah kanan di Universiti Malaysia Perlis (UniMap) yang bertugas di Fakulti Perniagaan dan Komunikasi.
“Sesuai dengan penglibatan beliau dalam bidang pendidikan, lantikan ini akan membantu Yadim dalam melahirkan daie-daie muda-muda dakwah di negara ini,” kata agensi itu.
Kedua-dua pelantikan itu berkuat kuasa pada 3 Mei 2023.
"Yadim percaya dengan pengalaman dan kepimpinan dua tokoh ini akan meningkatkan kemampuannya sebagai badan dakwah yang menyebar nilai nilai murni Islam dengan Rahmah sesuai dengan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara Madani.”
