Mahkamah Rayuan memutuskan hari ini bahawa pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kabinet sembilan tahun lalu oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, adalah sah kerana kuasa melantik dan memecat menteri, terletak pada perdana menteri.

Keputusan itu dibuat sebulat suara oleh Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, Datuk Mohamed Raus Sharif dan Datuk Heliliah Mohohamed Yusof, selepas menolak rayuan Anwar supaya pemecatannya dari jawatan Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri, diisytiharkan tidak mengikut perlembagaan.

Menurut Bernama, Raus, dalam penghakiman 19 muka berkata, surat pemansuhan pelantikan Anwar sebagai menteri kabinet, yang dikeluarkan Dr Mahathir pada 2 September 1998, mematuhi Artikel 43 (5) Perlembagaan Persekutuan oleh kerana itu merupakan bukti lebih daripada cukup untuk menunjukkan formaliti menasihatkan Yang di-Pertuan Agong mengenai pemansuhan, telah dilakukan oleh bekas perdana menteri.

"Di bawah skim Perlembagaan Persekutuan kita, Yang di-Pertuan Agong adalah raja berperlembagaan yang bertindak mengikut nasihat menteri dan bukan atas initiatifnya sendiri. Kuasa memecat menteri sebenarnya berada pada Perdana Menteri. Beliau boleh, pada sebarang masa, menasihatkan Yang di-Pertuan Agong memecat mana-mana menteri dan Seri Paduka bertanggungjawab untuk bertindak atas nasihat Perdana Menteri.

"Ringkasnya, tidak ada menteri boleh kekal dalam kabinet, jika Perdana Menteri memutuskan beliau harus dipecat," katanya. Penghakiman ketiga-tiga hakim itu disampaikan oleh pendaftar Mahkamah Rayuan Hasnah Mohamed Hashim.

Pemansuhan jawatan kabinet

Anwar memohon membantah keputusan mahkamah tinggi sembilan tahun lalu, yang menolak permohonannya bagi perintah untuk mengisytiharkan keputusan Dr Mahathir memecat beliau dari kabinet tidak mengikut undang-undang, tidak sah dan batal.

Beliau berhujah, pemansuhan jawatannya mestilah dikuatkuasakan oleh Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat perdana menteri dan bahawa pemansuhan itu tidak boleh dikuatkuasakan oleh perdana menteri tanpa terlebih dulu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Raus berkata, beliau tidak dapat melihat bagaimana kes Anwar boleh dipertahankan oleh kerana relif yang beliau pohon iaitu, untuk mengisytiharkan yang beliau masih seorang menteri kabinet adalah bersifat akademik oleh kerana beliau tidak lagi menjadi anggota salah satu dewan Parlimen dan Parlimen, dalam mana beliau dipilih sebagai anggota Dewan Rakyat, telah dibubarkan. Beliau juga berkata tidak ada isu yang boleh dibicarakan.

Oleh itu, katanya, untuk menerima hujah pembelaan agar kes itu dibawa semula ke Mahkamah Tinggi untuk ulang bicara merupakan langkah sia-sia.

Zulkefli berpendapat tidak ada salahnya bagi Dr Mahathir, sebagai perdana menteri ketika itu, menyatakan dalam surat pemansuhan bahawa dengan rasa dukacita beliau terpaksa memecat Anwar dari memegang jawatan dalam kerajaan.

Perlembagaan Persekutuan

Beliau berkata, tidak ada peruntukan dalam undang-undang mengenai bagaimana pemansuhan jawatan seorang menteri kabinet harus dikuatkuasakan atau pemansuhan jawatan Anwar sebagai menteri kabinet harus disampaikan kepada Anwar secara peribadi oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Surat pemansuhan pelantikan Anwar, yang diserahkan kepada Anwar, menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah diberitahu. Pada pendapat saya kenyataan ini dari responden pertama (Dr Mahathir), adalah adil untuk membuat kesimpulan bahawa sebenarnya pada atau sebelum 2 September 1998, keputusan dan nasihat Dr Mahathir telahpun disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong dan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah menerima keputusan dan nasihat itu," katanya.

Heliliah memutuskan, saman Anwar adalah tidak berasas, boleh membawa kepada salahguna proses mahkamah dan tidak dapat dipertahankan oleh kerana Anwar tidak diambil berkhidmat di bawah kontrak swasta ataupun oleh pihak berkuasa berkanun.

Sebaliknya, kata beliau, sumber pelantikannya berada dalam bidang kuasa undang-undang awam, iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Anwar, yang hadir di mahkamah bersama anak perempuannya, Nurul Izzah, dan menantu, memberitahu pemberita bahawa beliau terkejut dengan keputusan tersebut dan akan merayu ke Mahkamah Persekutuan.