Pohon permit ceramah sebelum 12 tengahari
Setiap permohonan untuk mengadakan ceramah dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok perlu dikemukakan kepada polis sebelum jam 12 tengahari setiap hari, kata Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Mohd Johari Baharum.
Setiap permohonan untuk mengadakan ceramah dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok perlu dikemukakan kepada polis sebelum jam 12 tengahari setiap hari, kata Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Mohd Johari Baharum.
Katanya, permohonan sesebuah parti politik untuk permit mengadakan ceramah dalam tempoh berkempen sekarang tidak diluluskan kerana ia dikemukakan dalam tempoh yang singkat.
"Kita memerlukan masa untuk adakan kawalan keselamatan dari segi trafik atau sebagainya, sebab itu kita perlukan sekurang-kurangnya sebelum jam 12 tengahari," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang dan Ketua Polis Selangor, Datuk Ismail Omar di Balai Polis Batang Berjuntai hari ini.
Bernama melaporkan, di Parlimen hari ini, Lim dikatakan mendakwa polis hanya meluluskan empat permit daripada enam yang dipohon parti pembangkang untuk mengadakan ceramah kempen pilihanraya DUN Ijok semalam.
Mohd Johari berkata, hanya tinggal dua hari sebelum hari mengundi Sabtu ini dan terserah kepada polis sama ada untuk meluluskan atau tidak permohonan itu memandangkan polis perlu meneliti beberapa faktor seperti keadaan tempat dan masa bagi memudahkan kawalan keselamatan dibuat.
Aspek keselamatan
"Isu polis tidak memberikan permit tidak timbul kerana apa yang terjadi pihak pembangkang kadang-kadang memohon permit dalam tempoh yang singkat, jadi polis tidak boleh benarkan ada ceramah kerana mengambil kira dari segi keselamatan," katanya.
Pilihanraya kecil Ijok menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), K Parthiban dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Khalid Ibrahim.
Menurutnya mengikut prosedur biasa, parti politik perlu mengemukakan permohonan bagi mendapatkan permit 14 hari sebelum ceramah diadakan.
Bagaimanapun, Mohd Johari berkata dalam hal ini kelonggaran diberikan bagi membolehkan kedua-dua parti bertanding, berkempen untuk pilihanraya sebelum tiba hari mengundi Sabtu ini.
"Disebabkan pilihanraya, kita boleh bertolak-ansur tetapi dalam keselamatan kita tak boleh bertolak-ansur kerana apa-apa terjadi, polis yang akan dipersalahkan serta ia akan turut mencemarkan proses pilihanraya," katanya.
Menjawab soalan, Johari berkata, peraturan tersebut mungkin akan digunakan dalam pilihanraya akn datang.

