Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Permohonan dedah maklumat projek SMG ditolak bagi 'lindungi maklumat peribadi'
Diterbitkan:  May 12, 2023 2:19 PM
Dikemaskini: 7:01 AM

Permintaan untuk mendedahkan imbuhan, faedah dan manfaat yang diterima Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan exco negeri Izham Hashim selaku pengarah syarikat terbabit dalam projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) bernilai RM700 juta telah ditolak atas faktor melindungi data peribadi.

Aktivis Parti Hijau Abdul Razak Ismail menyindir jawapan kerajaan Selangor terhadap permintaannya untuk butiran ini yang sekadar mendapat maklum balas "rahsia".

"(Mereka) kata jadi 'pengarah' syarikat usaha sama itu untuk jaga 'kepentingan Negeri Selangor'?

"Alih-alih, bila kita tanya kat FOI (Enakmen Kebebasan Maklumat) berapa gaji, elaun dan lain2 imbuhan dapat setiap bulan, pasal kononnya 'nak jaga kepentingan negeri tu', ringkasnya (mereka jawab) 'rahsia'," kata Abdul Razak dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Dalam jawapan kerajaan yang dikongsi aktivis itu, mereka menyatakan bahawa maklumat yang dimintanya dikecualikan di bawah Bahagian III, Seksyen 13 enakmen itu.

“Perkara di bawah ini adalah dianggap sebagai maklumat yang dikecualikan (kerana) setiap jabatan boleh untuk enggan menunjukkan sama ada ia mempunyai maklumat, atau enggan untuk menyampaikan maklumat, di mana jika berbuat demikian ia akan melibatkan penzahiran tidak munasabah maklumat peribadi orang perseorangan pihak ketiga," kata jawapan itu yang disiarkan Abdul Razak.

Perikatan Nasional (PN) sebelum ini membuat laporan terhadap projek SMG bagi pembersihan dan pembangunan Sungai Klang, yang dianugerahkan kepada Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB).

Dalam laporan mereka, PN mempersoalkan kedudukan Amirudin dan Izham sebagai pengarah LLSB.

Izham ialah exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani.

Sebelum ini juga dilaporkan Abdul Razak telah membuat permintaan FOI pada Mac.

Lihat Komen
ADS