Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Henti cari silap, ungkit kisah silam - pesan Noraini pada parti dalam k'jaan

Henti mencari silap serta mengungkit kisah silam, pesanan Wanita BN bagi memastikan agenda kerajaan persekutuan dapat dilaksanan dengan baik.

Pengerusi Wanita BN Noraini Ahmad berkata walaupun pada awalnya "agak janggal", namun kerjasama antara parti yang dahulunya berseteru itu penting untuk kestabilan politik negara.

"Kerjasama dan kestabilan ini perlu turut dirasai rakyat dan ahli parti. Ya, mungkin betul pada peringkat awal ini agak janggal.

"Siapa sangka saya akan duduk semeja dengan YB (yang berhormat) Aiman (Athirah Sabu), siapa sangka saya akan bekerja bersama Chong Eng...Namun, ia suatu perkara yang telah kita mulakan.

"Dengan gabungan besar yang sarat dengan pengalaman, potensi yang ada ini tidak boleh disia-siakan.

"Ini bukanlah masa untuk kita mencari silap dan salah. Ini bukan lagi masa untuk kita ungkit kisah dan cerita lama," katanya ketika berucap pada Konvensyen Wanita Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Konvensyen yang menghimpunan kesemua pemimpin wanita parti dalam kerajaan itu turut disertai bekas presiden PKR dan isteri perdana menteri, Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir adalah pengerusi BN yang juga timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Mengulas lanjut, menteri pengajian tinggi itu mengimbas sejarah kemerdekaan negara yang bermula dengan pelbagai kaum di Malaysia yang berkongsi hasrat yang sama.

"Namun politik kepartian dan perkauman telah menjauhkan kita daripada semangat Malaysia yang asal. Inilah yang perlu kita usaha dan kembalikan," katanya yang juga ketua Wanita Umno.

Sementara itu, Ketua Wanita Amanah Aiman Athirah Sabu dalam ucapannya menuntut kesaksamaan kepada peranan wanita terutama dalam proses merangka dasar, bukan hanya bertumpu kepada segmen masyarakat tertentu.

"Setiap pembangunan yang direka bentuk harus sedia letak duduknya wanita dengan iltizam keterangkuman gender.

"Setiap program madani yang dirangka mestilah mengambil kira peranan wanita," katanya.

Di akhir konvensyen, pemimpin sayap wanita parti dalam kerajaan melafazkan ikrar serta menandatangani dokumen simbolik kerjasama parti dalam kerajaan.

Lihat Komen
ADS