Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Menggesa anak muda untuk melakar sejarah politik baru untuk Malaysia, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata "perkahwinan paksa" berdasarkan kesetiaan lebih baik berbanding "pasangan curang".

Berucap dalam Konvensyen Pemuda Puteri Kerajaan Perpaduan 2023, Akmal menegaskan perlunya menunjukkan kepada orang ramai bagaimana parti dalam kerajaan sudah melangkaui soal perseteruan lalu untuk mencari persamaan demi negara.

"Ada orang kata kita kahwin paksa. Tapi saya nak beritahu, nenek dan ibu bapa kita dulu nak kahwin, (ramai) tak kenal sesama sendiri.

"Kalau bercinta 10 tahun tapi tahun pertama perkahwinan suami curang, buat apa?" katanya yang juga Adun Merlimau.

Akmal tidak merujuk mana-mana pihak secara khusus namun Umno sebelum ini menamatkan kerjasama Muafakat Nasional dengan PAS, yang menyertai PRU lalu sebagai komponen PN.

Akmal Saleh

Ratusan anggota dan pemimpin sayap pemuda parti dalam kerajaan berhimpun di Dewan Tun Dr Ismail di WTC hari ini bagi menyertai Konvesyen Pemuda Puteri Kerajaan Perpaduan 2023. Turut diadakan adalah Konvesyen Wanita Kerajaan Perpaduan.

Akmal turut mengimbas kembali bagaimana ahli pemuda Umno sebelum ini marah dengan Ketua Pemuda PKR Adam Adli Abdul Halim namun kini sedia untuk bekerja bersama-sama.

Dia merujuk tindakan Adam Adli yang menurunkan bendera memaparkan gambar bekas presiden Umno Najib Razak semasa dia menjadi aktivis mahasiswa pada 2011.

"Walaupun Adam pernah turunkan bendera kita (Umno). Ketika itu kalau jumpa dia, rasa nak siat muka (Adam Adli).

"Tapi inilah kehebatan rencana Allah. Bila kita bersama, hilang rasa marah bila jumpa Adam," katanya.

Sementara itu, Akmal menggariskan tiga prinsip untuk mengekalkan kerajaan - saling menghormati, memahami dan mempercayai satu sama lain.

Membangkitkan kritikannya terhadap Presiden Amanah Mohamad Sabu sebelum ini, dia hari ini memohon maaf kepada menteri pertanian dan keterjaminan makanan itu.

"Saya faham sebelum ini saya bangkang isu (pelantikan pemimpin Amanah dalam) GLC. Untuk sahabat-sahabat Amanah, saya berbesar hati memohon maaf," katanya.

Minggu lalu, dia dilaporkan mengkritik langkah Mohamad untuk melantik lima pemimpin PH - tiga daripada Amanah - untuk mempengerusikan badan berkanun di bawah kementeriannya.

Lihat Komen
ADS