Paling Popular
Terkini

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata kerjasama antara gabungannya dan Pakatan Harapan mungkin diteruskan walaupun selepas pilihan raya umum akan datang.

Dia berkata ini boleh menjadi kenyataan jika BN terus menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Jika kita terus sederap membantu Datuk Seri Anwar dan saya yakin idealisme telah diterjemah dalam bentuk dasar yang baik, Kerajaan Perpaduan, Kerajaan Madani ini, insya-Allah melepasi PRU ke-16.

"Jangan menoleh ke belakang, di sana ada orang yang tidak suka dengan kita.

“Ada orang yang kritik, persoalkan kita.

"Tetapi rakyat mahu kerajaan perpaduan ini terus maju,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Kerajaan Perpaduan Madani di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Zahid turut mengingatkan hadirin agar tidak melihat kembali perseteruan antara parti sebelum ini.

"Lawan tetap lawan, dulu lawan sekarang kawan.

“Buat apa lawan, kita kukuhkan sahaja Kerajaan Perpaduan," katanya kepada hadirin yang terdiri daripada perwakilan 19 parti politik yang membentuk pentadbiran di Putrajaya.

Zahid juga mengimbau perseteruan politik lampau, ketika ramai yang "fobia" terhadap warna "biru" - warna rasmi BN dan "merah" - warna rasmi Pakatan Harapan.

Merujuk kepada pakaian seragam putih yang digunakan oleh semua peserta konvensyen hari ini, dia berkata kedua-dua gabungan itu tidak lagi berbeza antara satu sama lain.

"Ini perlihatkan kita sedang melakar masa depan politik baru yang kita junjung adalah kemajmukan kepelbagaian parti.

"Dan yang akan terjemahkan adalah Datuk Seri Anwar selaku perdana menteri kita," kata Zahid lagi.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook kemudiannya memberitahu pemberita bahawa dia bersetuju dengan sentimen Zahid.

"Kalau kerjasama ini dapat kita perkukuhkan kalau semua parti yang bentuk kerajaan berlapang dada membeti komitmen tertinggi, sudah tentu kerajaan ini akan kekal melangkaui PRU16.

"Saya rasa akar umbi setiap parti melihat hala tuju dan contoh daripada pimpinan, kalau pimpinan bagi hala tuju jelas, saya yakin akar umbi untuk parti dapat menerima perjuangan dan kerjasama ini," katanya.

Loke juga menyatakan harapan untuk meneruskan kerjasama ini yang menurutnya merupakan "permulaan baru" terhadap masa depan Malaysia.

Konvensyen hari ini terdiri daripada 19 parti politik, termasuk yang lebih kecil seperti Muda, Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Presiden Muda Syed Saddiq Abdul Rahman berkata konvensyen hari ini menandakan kerajaan yang kuat dan stabil.

Ditanya jika Muda akan menyediakan jentera pilihan raya kepada parti pemerintah pada pilihan raya negeri akan datang, Syed Saddiq bahawa mesyuarat akan diadakan untuk membincangkannya dalam masa terdekat.

Ahli Parlimen Muar itu juga enggan mengulas mengenai permohonan parti itu untuk menyertai gabungan PH.

“Saya rasa soalan itu paling baik ditanya kepada kepimpinan PH. Seperti yang kita semua sedia maklum, kita telah pun memajukan surat kita sebanyak tiga kali.

"Saya rasa jawapan sebaiknya diserahkan kepada mereka.

“Tetapi jangan kita kaburkan apa yang berlaku hari ini.

“Saya rasa ini petanda baik kami dijemput untuk mengambil bahagian,” jelas Syed Saddiq.

Lihat Komen
ADS