PAS perlu sokong Anwar, kata Zaid Ibrahim
Bekas menteri Zaid Ibrahim menyeru agar PAS turut memberi sokongan kepada Anwar Ibrahim yang disifatkan prihatin terhadap permasalahan dihadapi di negeri-negeri ditadbir pembangkang seperti Kelantan.
Mengulas kenyataan Anwar yang menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan katanya, pelawaan untuk bekerjasama itu bermaksud PAS perlu memberi sokongan kepada perdana menteri.

“Saya menyambut baik begitu gembira dengan kenyataan Anwar, ini yang saya tunggu-tunggu. Inilah sebabnya saya gembira dengan kenyataan Anwar, saya sokong seratus peratus, saya harap PAS pun sokonglah.
”Perdana menteri sebut kita kena kerjasamalah, kalau nak suruh pusat tolong Kelantan, Kelantan kena kerjasamalah, apa maksud beliau?
“Kerjasama itu maksudnya PAS kena pandai politiklah, dalam parlimen kena sokong Anwar sebagai perdana menteri.
“Tak usahlah buat kacau kata tak tolong Melayu lah itu ini. Di parlimen sokong perdana menteri, perdana menteri sokong kamu di Kelantan. Kamu tolong saya, saya tolong kamu,” katanya dalam satu hantaran video di media sosial, semalam.
Hantaran itu sebagai mengulas ucapan Anwar dalam lawatannya ke Kelantan Jumaat lalu yang menyatakan kerajaannya sedia bekerjasama untuk menyelesaikan masalah air dihadapi negeri diperintah PAS sejak berdekad lalu.
Zaid berkata PAS perlu tukar cara berpolitik dengan “membuang yang keruh dan ambil yang jernih” demi memastikan kestabilan kerajaan dan menguntungkan rakyat Kelantan itu sendiri.
“Lagi pun kalau kita nak kerajaan stabil bertahan lama kita perlulah sokong perdana menteri sekarang ini supaya dia dapat teruskan programnya itu.

“Kalau dia tak buat apa-apa, gagal, nanti pilihan raya akan datang tukarlah. Tapi buat masa ini dia jadi perdana menteri, PAS kena sokong dialah, kalau tidak sia-sialah dia sokong nak habiskan duit di Kelantan ke, Terengganu ke atau Kedah.
”PAS kena tukar cara berpolitik tak usah nak hentam saja. PAS sekarang kita tahu, rakan kongsinya iaitu Bersatu pun kita kenal juga, lepas seorang seorang kena tuduh. Jadi dalam keadaan begitu nanti PAS nak bergantung pada siapa?” ujarnya.
Tambahnya Anwar seorang pemimpin yang prihatin kerana mengambil kira masalah di Kelantan sedangkan persoalan politik tidak mudah diselesaikan.
Kata Zaid dia sedar rakyat Kelantan mungkin tetap akan memberi undi kepada PAS di sebalik kerjasama dihulurkan Anwar.

“Rakyat Kelantan mungkin akan terus undi PAS, sebab orang Kelantan tak suka konsert, tak suka mak yong ke, tak suka berpakaian ketat ke, saya tak tahu sebab apa mereka undi PAS
“Tapi nak ubah pemikiran mereka itu bukan dengan cara kita belasah atau buat laporan polis, itu bukan begitu caranya.
“Caranya kita ubah persekitaran kehidupan mereka, itu cara kita nak ubah pendirian mereka, pandangan mereka, bagaimana pandangan politik mereka, kita ubah kehidupan mereka,” katanya lagi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/03/b56a58e8f3b34b70e16718b7f53a57bb.jpg)
