Parti pembangkang dilarang melakukan tangkapan terhadap orang awam yang datang mengundi pada pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok Sabtu ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Ismail Omar berkata, polis tidak akan membenarkan mana-mana pihak sewenang-wenangnya melakukan tangkapan awam dan sebarang aduan tentang pengundi hantu seharusnya dirujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, SPR yang akan menentukan bentuk tindakan yang akan diambil setelah menerima laporan mengenai wujudnya pengundi hantu, dan bukannya pihak parti yang bertanding, demikian menurut laporan Bernama.

Semalam, Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, parti itu telah mengarahkan jentera pilihanrayanya di semua peringkat supaya bersedia untuk membuat tangkapan awam bagi membanteras kegiatan pengundi hantu pada hari pengundian Sabtu ini.

"Mana boleh buat sesuka hati macam itu," kata Ismail dalam sidang akhbar di Kuala Selangor semalam.

Kad pengenalan

Pilihanraya kecil DUN Ijok diadakan berikutan kematian penyandang dari BN Datuk K. Sivalingam pada 4 April lalu. Pilihanraya kecil kali ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu, antara calon BN, K Parthiban, 38, dengan calon PKR Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, 61.

Dalam satu kenyataan semalam, Ketua Penerangan PKR, Tian Chua, tindakan itu penting bagi memastikan pengundi hantu ini tidak mempengaruhi keputusan pilihanraya kecil tersebut.

Katanya, jentera pilihanraya PKR di semua peringkat bersedia untuk melakukan tangkapan awam jika melihat atau bertemu dengan orang yang memiliki Kad Pengenalan milik individu lain, memungut Kad Pengenalan milik orang lain dan menawarkan wang untuk mendapatkan Kad Pengenalan orang lain.

Selain itu, katanya, sebagai langkah tambahan, PKR juga akan meletakkan beberapa petugas khas bersama kamera video di semua tempat pembuangan undi bagi merakam semua aktiviti proses pembuangan undi.

"Ini bagi memastikan kita dapat mengumpul bukti terhadap mereka yang cuba mengundi bagi pihak orang lain pada hari berkenaan," katanya.