Kalimah Allah: PM, kabinet setuju dasar sedia ada kekal
Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini memaklumkan bahawa kerajaan akan mengekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam.
Dalam satu kenyataan, dia berkata jemaah menteri menghormati, memperakui, dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri-negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februari lalu yang menggesa supaya dasar sedia ada mengenai penggunaan kalimah Allah dikekalkan.
“Jemaah menteri mengambil maklum bahawa keputusan yang dibuat hanya berkisar soal pentadbiran dan tidak merubah ketetapan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2014,” katanya.
Tiada laporan berita mengenai titah Raja-raja pada 7 Feb lalu itu, namun kebanyakan majlis agama negeri melarang penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam.
“Bagi menyelesaikan isu ini secara menyeluruh dan bersepadu, Jemaah Menteri pada hari ini telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan-cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja, dan pada masa yang sama memperkukuh perpaduan dan keharmonian di antara kaum dan agama di Malaysia,” katanya.
Menurut Anwar, kerajaan akan senantiasa mempertahan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 3 berhubung agama Islam adalah agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.
Pada 15 Mei lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan dilaporkan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.
Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan pada 18 April lalu.
Jill Ireland memohon semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008 supaya dikembalikan lapan cakera padat (CD) dengan tajuk mengandungi kalimah ‘Allah’ yang dirampas daripadanya pada 11 Mei 2008, serta perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah itu dalam penerbitan Kristian.
Mahkamah pada 2014 memerintahkan CD itu dipulangkan dan setelah melalui beberapa proses, memutuskan arahan KDN pada 1986 untuk tidak membenarkan penggunaan empat perkataan itu menyalahi undang-undang dan tidak rasional.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/02/d7bc696995194524dc19aa8815232036.jpg)
