Gangguan bekalan air di 99 kawasan Klang, Shah Alam, Kuala S'gor
Penduduk di 99 kawasan di Klang, Shah Alam, dan Kuala Selangor dijangka menghadapi gangguan bekalan air minggu depan berikutan kerja-kerja kecemasan pembaikan paip pecah di Jalan Bukit Cerakah, Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor.
Dalam satu kenyataan di Facebook hari ini, Air Selangor berkata gangguan itu akan berlangsung dari 22 Mei (Isnin) hingga 23 Mei (Selasa), dengan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya menjelang malam 24 Mei (Rabu).
"Kerja-kerja pembaikan kecemasan ini melibatkan paip saluran utama berukuran 2,200mm diameter dan melibatkan kawasan agihan berskala besar. Oleh yang demikian, tempoh pembaikan dan pemulihan mengambil masa yang agak lama.
"Namun begitu, sekiranya kebocoran menjadi kritikal, kerja-kerja kecemasan pembaikan paip pecah tersebut akan dimulakan lebih awal daripada tarikh yang telah dimaklumkan,” kata Air Selangor sambil menambah tempoh gangguan bekalan dan pemulihan di kawasan terjejas bergantung kepada lokasi premis pengguna, serta tekanan air pada sistem pengagihan.
Air Selangor menasihati pengguna yang terjejas supaya menyimpan air yang cukup dan menggunakan air secara berhemah semasa tempoh gangguan.
Pengguna boleh mendapatkan maklumat mengenai gangguan bekalan air tidak berjadual melalui saluran media sosial rasmi Air Selangor atau dengan menghubungi 15300.
Anda boleh menyemak sama ada kawasan anda terjejas akibat gangguan itu di sini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/09/22a29d86a911698035c5d0304fe3a56a.jpg)
