Pelatih PLKN tidak dibenar cuti walaupun bapa meninggal
Ibu kepada seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) terkilan kerana anaknya tidak dibenar mengambil cuti semasa bapanya sakit tenat dan meninggal dunia.
Ibu kepada seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) terkilan kerana anaknya tidak dibenar mengambil cuti semasa bapanya sakit tenat dan meninggal dunia.
Semah Mat Ali, 52, mendakwa anaknya Norliza Yusuf, 17, yang sedang menjalani latihan di Kem Kisana Beach Resort di Tok Bali di Pasir Puteh hanya dibenarkan keluar beberapa jam untuk menziarahi jenazah bapanya, Yusof Awang, 58, yang meninggal dunia pada Isnin lalu.
Sebelum itu, katanya, pada hari Sabtu, anaknya itu juga hanya diberi pelepasan beberapa jam untuk melawat bapanya yang sedang nazak akibat serangan angin ahmar di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian.
"Semasa bapanya meninggal dunia pada Isnin lalu, Norliza hanya dibenarkan menziarahi jenazah untuk beberapa jam sahaja dan diminta kembali semula ke pusat latihan, atas beberapa alasan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Chenggal di Pasir Puteh hari ini.
Katanya, antara alasan yang diberikan pihak pengurusan kem itu ialah bimbang berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini dalam tempoh latihan walaupun jarak antara rumahnya dengan kem PLKN itu mengambil setengah jam perjalanan manakala surat akuan doktor yang mengesahkan bapa Norliza sakit dikatakan tidak lengkap.
Semah berkata Norliza anak kelima daripada enam adik beradik sangat rapat dengan bapanya kerana sejak arwah sakit lima tahun lepas, anaknya itu yang menjaga bapanya termasuk memandi dan menyuapkan makanan kerana dia terpaksa bekerja memungut daun tembakau di Tok Bali bagi menyara keluarga.
Kakaknya Norihan, 29, pula berkata apa yang sangat mendukacitakan ialah pihak PLKN memberikan alasan tidak perlu cuti kerana bapa mereka sudah meninggal dunia ketika dia menyerahkan surat kematian bapanya dan memohon supaya adiknya diberikan cuti beberapa hari.
Katanya sepatutnya pihak PLKN lebih prihatin dengan kebajikan pelatihnya dalam menghadapi saat kesedihan seperti itu.

