GPS tak puas hati Muda guna bilik media DUN S’wak
Pemuda Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyelar Muda Sarawak kerana menggunakan bilik media dewan undangan negeri (DUN) untuk mempromosikan parti.
Pemimpin Pemuda GPS Miro Simuh berkata kemudahan itu sepatutnya digunakan oleh anggota DUN dan bukan menjadi tempat mempromosikan parti sendiri.
“Apa yang Muda buat tidak sihat,” katanya.
Miro berkata Muda tidak sepatutnya menggunakan bilik media itu kerana mereka “boleh melakukan apa saja di luar”.
Rabu lalu, delegasi Muda melawat DUN sempena persidangan berlangsung.
Difahamkan Muda hadir sebagai tetamu sebuah parti pembangkang.
Pemimpin Muda Jeffery Ngui ketika itu memperkenalkan beberapa pemimpin partinya kepada pihak media dan menyatakan ikrar untuk menjadi suara kepada anak muda Sarawak.
“Slogan kita 'Muda adalah kita'.
“Kita percaya dalam hati setiap orang Sarawak, ada Muda dalam mereka dan kita mahu keluarkannya.
“Kita sokong dasar-dasar yang baik dan kita juga akan mainkan peranan semak dan imbang,” kata Ngui.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/05/1be557cbe193cb534ee2b14b354534e8.jpg)
