Dakwaan k'jaan Perak bertukar: Razman tak boleh beri bukti
Ketika ada dakwaan wujud cubaan menukar kerajaan Perak mahu beralih angin, pesuruhjaya PAS negeri itu mengakui didatangi beberapa wakil rakyat kerajaan.
Pun begitu Razman Zakaria dilaporkan berkata, dia tidak dapat memberikan sebarang bukti mengenai dakwaan tersebut serta status kesahihannya.
Bahkan dia mengumpamakan situasi tersebut seperti tindakan seseorang mahu mencuri dan dia tidak tahu apa yang ada dalam hati individu terbabit.
“Kebenarannya (gerakan tumbangkan kerajaan Perak) tak dapat nak dibuktikan, umpama kalau seseorang itu merancang nak pergi mencuri, tapi jadi atau tidak, kita tak tahu.
“Saya tak tahu ini perancangan siapa, benar atau tak benar itu saya tak tahu, kalau benar berlaku kita mengalu-alukannya.
“Saya tahu (wujud gerakan tumbangkan kerajaan negeri) sebab ada beberapa orang (Adun kerajaan) yang jumpa saya.
"Tapi takkan saya nak cerita (terperinci),” katanya dipetik Utusan Online hari ini.
Sama seperti di Putrajaya, Perak kini ditadbir oleh kerajaan perpaduan dengan diketuai pengerusi BN negeri itu, Saarani Mohamad selaku menteri besar.
BN membentuk kerajaan negeri selepas mendapat sokongan daripada PH pada tahun lalu.
Dua hari selepas PRU ke-15 berlangsung Saarani berkata Perak tidak boleh dibiarkan dalam keadaan tidak keruan, serta DUN perlu bersidang segera meluluskan belanjawan, dia bersetuju menerima tawaran PH bagi membentuk kerajaan yang kuat dan stabil.
Menurut Razman PAS berpendapat tidak mustahil seseorang Adun mengalih sokongannya selepas beberapa ketika dan ia pernah disaksikan dalam politik negara sebelum ini.
Dia yang juga ketua pembangkang di DUN Perak mendakwa, janji seseorang Adun "tak boleh dipegang" walaupun mereka melafazkan ikrar atau aku janji.
“Memang (parti politik) ada baiah, berjanji tapi tak boleh nak pegang," katanya.
Razman pada masa sama memberitahu dia berharap kerajaan yang ada kekal sehingga tiba waktu DUN dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya baru dibuat.
"Kita (PAS) pun harap kerajaan ini sampai hujung penggal tapi rasanya tak sampai agaknya,” katanya.
Untuk rekod Saarani sebelum ini sudah dilaporkan membuat penafian wujud sebarang cubaan menjatuhkan kerajaan negeri.
DUN Perak mempunyai 59 kerusi dan sesebuah parti yang ingin menjadi kerajaan perlu memiliki sekurang-kurangnya 30 sokongan Adun.
Selepas PRU lalu BN memiliki sembilan Adun, selain 24 dari PH.
Pembangkang pula menguasai 26 kerusi dengan 17 daripadanya wakil PAS, manakala selebihnya Bersatu.
Pun begitu pada 29 Dis tahun lalu DUN Perak sudah meluluskan enakmen antilompat parti bagi mengekang tindakan mana-mana wakil rakyat bertindak mengalih sokongan semasa masih dalam jawatan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/3499f9f7ad863a11d6c9364f09db897f.jpg)
