Bersih gesa PM libatkan parlimen bagi pelantikan jawatan pesuruhjaya SPR
Bersih menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk melibatkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) mengenai Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi untuk memilih anggota Sabah untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ini, antara lain, akan meningkatkan ketelusan dalam proses pelantikan dan memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap SPR, kata jawatankuasa pemandu Bersih.
"Meski dilantik secara perlembagaan oleh Yang di-Pertuan Agong, pengerusi dan ahli SPR dipilih oleh perdana menteri yang mencalonkan mereka. Kekosongan bagi ahli Sabah berlaku November lalu manakala satu kekosongan lagi berlaku Disember lalu.
"Bersih menegaskan bahawa sebagai penjaga proses pilihan raya, SPR adalah salah satu badan perlembagaan yang paling penting. Namun untuk sebahagian besar masa selepas 1967, ia tidak menunjukkan kebebasan, kesaksamaan dan integriti yang diharapkan," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Bersih, isu utama ialah pelantikan pesuruhjaya daripada kalangan penjawat kanan lelaki yang bersara sehingga 2018 - yang semuanya sudah biasa menerima arahan daripada ahli politik.
"Hanya pada 2018, SPR mempunyai ahli yang mempunyai kelayakan berkaitan pilihan raya atau undang-undang yang dilantik daripada ahli akademik dan masyarakat sivil," katanya.
Oleh itu, kata Bersih, Anwar harus menunjukkan komitmennya untuk meningkatkan keupayaan dan kredibiliti SPR dengan melibatkan PSCC dalam pelantikan ahli Sabah.
"Berbuat demikian akan mendapat tiga faedah utama: i) meningkatkan ketelusan dalam proses pelantikan utama; ii) meningkatkan legitimasi dan kepercayaan orang ramai terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya; iii) peranan bermakna bagi Parlimen untuk menyemak pelantikan utama, sama seperti kebanyakan negara demokrasi maju di mana dewan perundangan dapat menapis, meneliti dan mengundi pelantikan utama," katanya.
Menurut Bersih lagi, ia telah menjalankan penyelidikan mengenai pembaharuan SPR dan bersedia untuk bertemu dengan perdana menteri, PSCC, dan SPR mengenai cara pelantikan itu boleh dibuat secara telus, partisipatif dan bertanggungjawab untuk membina kepercayaan orang ramai terhadap badan pilihan raya dan proses pilihan raya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/03/0da8742ad1847bb5837cbc574217cbd0.jpg)
