Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid minta MCA tak 'kecil hati' dengan kerjasama BN-PH
Diterbitkan:  May 23, 2023 3:29 PM
Dikemaskini: 7:29 AM

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi meminta parti komponen BN, khususnya MCA, tidak berasa kecil hati dengan kerjasama gabungan itu dengan Pakatan Harapan (PH).

Presiden Umno itu berkata pihak yang terlibat dalam kerjasama itu sebaliknya perlu saling menyantuni antara satu sama lain.

"Kita mengingatkan diri kita sendiri bahawa BN terus diperkasakan. Bukan saja MCA tapi MIC, PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) adalah komponen teras kita.

"Kita juga mempunyai parti bersekutu dalam BN...yang penting adalah kerjasama dengan semua parti dalam 'outfit' BN serta kita harus menyantuni keberadaan parti-parti daripada kolaborasi ini dan terdapat 19 parti yang berada di dalam ini

"Saya tak mahu mana-mana parti berkecil hati apabila kita bekerjasama secara 'smart partnership' ini," katanya seperti dipetik Berita Harian hari ini selepas merasmikan Persidangan Semikon Asia Tenggara 2023 di Bayan Lepas.

Zahid diminta mengulas komen Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon yang menggesanya untuk memberi tumpuan kepada parti komponen dalam BN dan bukannya rakan politik lain, terutamanya DAP.

Chong berkata kerjasama BN dan PH mesti memberi manfaat kepada kedua-dua gabungan itu.

Kenyataan Chong itu hadir selepas Zahid menyeru agar penyokong BN menyokong PH dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Peranan MCA dalam PRN akan datang masih tidak jelas. Parti itu tidak memegang sebarang kerusi di enam negeri yang akan mengadakan PRN.

Zahid sebelum ini berkata penyokong Umno harus menyokong calon PH, sama seperti mereka menyokong calon MCA dan MIC sebelum ini.

Minggu lalu, Ahli Majlis Tertinggi Umno Ahmad Maslan menggesa penyokong Umno dan BN menyokong parti dalam gabungan kerajaan perpaduan.

Setiausaha publisiti kebangsaan DAP Teo Nie Ching dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke juga menyeru ahli parti dan penyokong mereka menyokong calon Umno semasa PRN akan datang.

Lihat Komen
ADS