Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan dana judi: SPRM boleh buka fail bila-bila masa
Diterbitkan:  May 26, 2023 3:16 PM
Dikemaskini: 7:32 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman berkata dia tidak pernah menyatakan siasatan isu pendanaan pilihan raya daripada syarikat perjudian sudah ditamatkan atau digugurkan.

Sebaliknya kata ahli parlimen Pengerang itu, jawapan tersebut - yang dibuatnya di Dewan Rakyat semalam - hanya memaklumkan tiada fail siasatan dibuka.

"Dalam hal ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai badan yang bebas dan berkecuali tentu sekali akan dan berhak menjalankan siasatan berkaitan dan membuka fail siasatan sebagaimana perlu mengikut Akta SPRM atau mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa berdasarkan kepada maklumat dan bukti yang diperolehi dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam media melaporkan SPRM tidak dapat mengesahkan dakwaan bahawa PN menggunakan dana daripada syarikat perjudian untuk membantu membiayai kempen mereka pada PRU tahun lepas.

Katanya SPRM telah menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan itu.

"Bagaimanapun, SPRM mendapati maklumat terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu ini.

"Justeru, tiada apa-apa fail siasatan dibuka ke atas isu ini," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahmad Fadhli Shaari di Dewan Rakyat.

Ekoran kenyataan itu PAS - salah satu parti komponen PN - hari ini mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim membuat permohonan maaf secara terbuka kerana membuat kenyataan berkaitan isu itu pada Dis tahun lalu.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin pula sedang berbincang dengan peguam untuk melihat kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Anwar.

Azalina berkata selain SPRM ada agensi penguat kuasa lain yang boleh menjalankan tugas menjalan siasatan berhubung dakwaan berkenaan.

Antaranya kata Azalina, ialah polis dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

"Undang-undang Malaysia tidak mempunyai sebarang had masa (time limit) untuk memulakan sebarang tindakan ke atas mana-mana kes jenayah," katanya.

Dia turut menegaskan agar semua pihak menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan tidak membuat kenyataan melulu ekoran kenyataan dibuatnya di parlimen.

"Tidak wajar untuk mana-mana pihak untuk mempolitikkan atau memutarbelitkan jawapan yang saya berikan kepada ahli parlimen Pasir Mas dalam Dewan Rakyat berhubung dengan isu ini mahupun membuat tuduhan tidak berasas kepada perdana menteri," katanya.

Lihat Komen
ADS