Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Persatuan minta syarat mohon tender cetak label hologram diperketat

Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia (PPPMM) menggesa kerajaan memperketatkan syarat permohonan tender bagi membekalkan label keselamatan hologram untuk produk farmaseutikal berdaftar.

Presidennya Badruddin Abu Bakar berkata tender yang didakwanya bernilai lebih RM120 juta yang ditawarkan kerajaan pada 17 Mei lalu boleh dimohon oleh mana-mana pembekal asalkan syarikat mereka berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Ini menyebabkan sesiapa sahaja boleh mohon walaupun mereka hanya menjual nasi lemak tepi jalan, mereka boleh mohon asalkan mereka ada mendaftar di SSM,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Badruddin lagi antara yang terjejas dengan dasar tersebut ialah kontraktor bumiputera sendiri.

Dia berkata label keselamatan hologram tersebut adalah penting kerana melibatkan kesihatan pengguna.

Justeru katanya, sangat wajar kerajaan memberi perhatian serius dan tidak diberi akses begitu muda kepada sesiapa saja yang tidak mempunyai lesen.

Hal itu kerana, tambah Badruddin, kelonggaran memberikan kontrak kepada syarikat yang berdaftar di SSM, ia mungkin membabitkan risiko keselamatan orang ramai.

Label keselamatan hologram merupakan inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai antara ciri keselamatan.

Ia membolehkan pengguna atau pegawai penguat kuasa farmasi menentukan ketulenan sesuatu produk kesihatan yang berdaftar dengan KKM.

Menurut Badruddin, e-Perolehan (EP) merupakan kemudahan sistem perolehan elektronik yang membolehkan pembekal mendaftar atau memperbaharui Sijil Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).

Namun, dia berpendapat sistem itu akan menjadi sia-sia jika tender yang dikeluarkan kerajaan turut terpakai kepada mana-mana pembekal hanya berdaftar dengan SSM saja.

“Jadi apa fungsi EP jika tender yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan cuma memerlukan pembekal berdaftar dengan SSM sahaja,” katanya.

Tambahan pula, Badruddin berkata, tempoh serahan dokumen serta contoh barang untuk memohon tender berkenaan adalah terlalu singkat iaitu selama 21 hari.

“Dua puluh satu hari ni tak cukup, saya dah tanya pada designer (pereka bentuk) hologram kata tak cukup sebab ia melibatkan ciri keselamatan dan perlukan kerja yang teliti,” katanya.

Selain itu dia berkata harga dokumen tender juga mahal sehingga mencecah RM5,000 dan wang tersebut tidak akan dikembalikan walaupun sekiranya syarikat terbabit gagal memperolehi tender.

“Bagi kami, nilainya terlalu tinggi, sepatutnya pada pandangan kami RM500 hingga RM1,000 memadai.

“Harga itu akan mengehadkan kebanyakan pembekal untuk mengambil bahagian dalam tender lebih-lebih lagi yang mempunyai mesin percetakan label keselamatan hologram yang diiktiraf CGSO (Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia),” katanya.

Oleh itu, PPPMM berharap KKM memberi perhatian serius terhadap isu pengiklanan tender-tender yang berkaitan dengan sistem keselamatan kesihatan dengan memperketatkan syarat permohonan.

Lihat Komen
ADS