mk-logo
Berita
Dari enam jadi lima kapal: Projek LCS dikecilkan, kos naik RM11.2b - BNS
Diterbitkan:  May 26, 2023 8:21 PM
Dikemaskini: 12:25 PM

Putrajaya menandatangani perjanjian baru dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) yang akan menyambung semula projek kapal tempur pesisir (LCS) yang telah lama terhenti.

Menurut pemfailan syarikat induk Boustead Holding kepada Bursa Malaysia hari ini, kontrak tambahan keenam yang ditandatangani hari ini memerlukan anak syarikatnya Boustead Naval Shipyard (BNS) untuk menghantar lima LCS dan bukannya enam kapal.

Jumlah harga kontrak telah disemak kepada RM11.2 bilion, meningkat daripada RM9 bilion sebelum ini. Kerajaan telah pun mengeluarkan RM6 bilion.

Pengerusi Boustead Holdings Nazim Rahman berkata perjanjian ini terhasil daripada semakan menyeluruh terhadap pelbagai pilihan dan semua aspek projek oleh syarikat dan kerajaan.

“Di bawah perjanjian baru ini, pelbagai langkah pencegahan telah dilaksanakan bagi memastikan kapal-kapal itu dihantar tepat pada masanya dan mengikut bajet yang diperuntukkan.

“Ini termasuk pembentukan jawatankuasa pemantauan projek yang dipengerusikan bersama oleh ketua setiausaha perbendaharaan dan ketua setiausaha Kementerian Pertahanan, bagi memantapkan pelaksanaan dan penyeliaan penyampaian projek sekaligus memastikan kegagalan masa lalu tidak berulang," kata Nazim.

Dia berkata pengurusan baru telah diletakkan di BNS, Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC), Boustead Holdings at Armed Forces Fund Board (LTAT) yang membolehkan syarikat dan pemegang sahamnya membuat penilaian objektif terhadap projek itu dan cara terbaik bergerak ke hadapan untuk menyelesaikan penghantaran kapal-kapal itu.

Projek LCS bermula pada 2013 tetapi selepas RM6 bilion dibelanjakan, BNS telah terlepas tarikh akhir 2019 untuk menghantar kapal pertama.

Sehingga tahun lepas, pembinaan kapal keenam masih belum dimulakan dan tiada satu pun kapal telah mencapai kemajuan melebihi tahap 50 peratus.

Siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai perkara itu mendedahkan bahawa keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk projek tersebut telah diabaikan oleh kerajaan dan usaha wajar pula gagal mengesan masalah kewangan BNS.


BACA BERKAITAN:

PANDUANKINI | Menyelami skandal LCS bernilai RM9 bilion

Bekas panglima TLDM: BNS kontraktor kapal 'angkuh, sangat dilindungi'

Pandangan TLDM tak diendah, kos lebih RM1 bilion - PAC

Lihat Komen
ADS