Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PANDUANKINI | Menyelami skandal LCS bernilai RM9 bilion

PANDUANKINI | Sejak kira-kira dua minggu lalu, negara didedahkan dengan skandal berbilion ringgit terbaru melibatkan projek kapal peronda generasi kedua TLDM - Littoral Combatant Ship (LCS).

Laporan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan perolehan pertahanan yang terbesar negara itu, bernilai RM9 bilion untuk enam kapal LCS, dirundung masalah.

Malaysiakini meneliti apakah itu LCS, sejarah ringkas dan masalah yang dihadapinya.

Berkenaan kapal peronda moden

Untuk memahami LCS dengan lebih baik, kita perlu melihat jenis-jenis berbeza kapal perang moden.

Kebanyakan tentera aut moden merangka kapal perang mereka daripada paling besar kepada paling kecil, seperti penjajap (cruiser), kapal pembinasa, kapal frigat, korvet dan kapal serangan pantas.

Kapal yang disebut ini adalah kapal perang yang dilengkapi torpedo, misil dan senjata lain. Kebanyakannya boleh mengangkut helikopter.

Kapal-kapal ini berbeza dengan kapal peronda offshore (OPV) yang berperanan antaranya untuk rondaan maritim, penguatkuasaan dan operasi mencari dan menyelamat.

Senjata pada OVP biasanya terhad, iaitu meriam utama, mesingan, dan kemampuan untuk mengangkut helikopter bergantung kepada saiznya.

Apa itu LCS?

Konsep ini pertama kali diperkenalkan oleh angkatan tentera laut Amerika Syarikat (AS) dengan dua kelas LCS - Freedom dan Independence. Konsep ini untuk kapal perang yang kecil, sukar dikesan dan murah - sekurang-kurangnya bagi AS - untuk operasi perang di zon litoral (pesisir).

Antara jenis operasi perang pesisir termasuk pemantauan dan rondaan maritim, pembersihan periuk api, sokongan operasi mendarat dan operasi pertempuran di laut.

Selain AS, Malaysia adalah satu-satunya negara yang memiliki senjata pertempuran permukaan yang dikategorikan sebagai LCS.

Namun, LCS TLD sangat berbeza. Ia lebih kecil dan jauh lebih murah dan perlahan serta tidak modular.

Apakah rekaan Gowind dan Sigma?

Antara isu dalam laporan PAC adalah bagaimana Kementerian Pertahanan mengubah rekaan kapal LCS daripada Sigma kepada Gowind, bertentangan dengan kehendak TLDM.

Kapal kelas Sigma adalah kapal tempur yang direka oleh Damen Naval di Belanda, manakala Gowind direka oleh syarikat pertahanan Perancis, DNCS (kini dikenali sebagai Naval Group).

Bekas Panglima TLDM Laksamana Abdul Aziz Jaafar memberitahu PAC bahawa pada masa itu, rekaan Gowind belum terbukti, sedangkan kapal Sigma sudah pun beroperasi di Maghribi dan Indonesia.

Selain itu, kapal Gowind juga tidak cukup besar untuk kegunaan yang dimahukan TLDM.

Maklumat umum menunjukkan rekaan Gowind pada mulanya adalah siri Korvet 1,000 hingga 2,500 tan. Rekaan LCS adalah versi yang diubah untuk menepati keperluan Malaysia.

Siri kapal Sigma yang dimahukan TLDM adalam versi daripada kapal perang pantas 750 tan sehinggalah kapal frigat 2,300 tan.

Indonesia pada masa ini mengendalikan dua jenis kapal Sigma - korvet Diponegoro 1,700 tan dan frigat Martadinata 2,375 tan.

Kapal frigat Sigma jenis-10514 KRI Raden Eddy Martadinata milik Indonesia

Menurut Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang menjalankan audit forensik terhadap projek LCS pada 2019, perubahan rekaan dibuat oleh Ahmad Zahid Hamidi pada 2011, ketika itu sebagai menteri pertahanan.

Zahid pada mulanya memberi lampu hijau terhadap keputusan TLDM untuk menggunakan rekaan Sigma pada Mei 2011, namun berubah fikiran tak sampai dua bulan kemudian susulan syor yang dibuat kontraktor projek, Boustead Naval Shipyard (BNS).

Apa lagi dibangkitkan dalam laporan PAC?

a) Kegagalan penyiapan

LCS pertama dijadual siap pada 2019 namun hanya 44 peratus siap dan status kapal-kapal lain pula lebih teruk.

b) Kos meningkat

Laporan PAC juga menyertakan senarai panjang isu, daripada pemantauan yang lemah serta pengabaian terhadap pandangan TLDM, terlebih kos, dan terma kontrak yang tidak berpihak kepada kerajaan.

Berkenaan dakwaan kos yang meningkat

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa dua pakej pakej projek melibatkan subkontraktor berlapis-lapis yang menyebabkan kos meningkat hampir tiga kali ganda, daripada RM397 juta kepada RM1.185 bilion.

Tiga lapis kontrak melibatkan BNS, Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD), Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED), dan DCNS.

BNS melantik CAD sebagai subkontraktor untuk dua pakej. CAD pula melantik CED sebagai subkontraktornya, dengan kos akhir RM1.185 bilion. Namun, DNCS sebagai pembekal terakhir hanya mengenakan caj RM397 juta untuk dua pakej tersebut.

Menurut laporan PAC, CAD dan CED adalah usaha sama antara Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) dan Rheinmetall Air Defense AD.

BHIC memiliki 51 peratus pegangan dan Rheinmetall Air Defense AD dengan 49 peratus pegangan.

Bukankah LCS dilancarkan pada 2017?

LCS1 iaitu KD Maharaja Lela dilancarkan pada 24 Ogos 2017. Majlis pelancaran dihadiri oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri of Perak Tuanku Zara Salim.

Kapal itu dilancarkan secara rasmi oleh Tuanku Zara Salim.

Jadi ia bukan kapal yang sebenar?

Bekas Panglima Tentera Laut, Laksamana (B) Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin menjelaskan ia memang kapal sebenar walaupun belum siap.

Dia berkata sudah menjadi amalan biasa untuk angkatan tentera laut seluruh dunia melancarkan kapal sebelum ia siap dan perkara itu telah dijelaskan kepada PAC.

Ketika memberi keterangan kepada PAC, BNS mengakui syarikat meletakkan kepala tiang "sementara" agar kapal itu kelihatan lebih baik untuk pelancaran, sebelum menurunkannya semula.

CEO BHIZ Sharifuddin Md Zaini Al-Manaf namun berkata kepala tiang sementara itu adalah sesuatu yang "membazir".

Kos untuk kepala tiang itu adalah RM400,000 dan disimpan di stor ketika kedua-duanya memberi keterangan kepada PAC pada 2021.

Apakah PH punca projek lambat siap?

Pada 7 Ogos 2022, bekas perdana menteri Najib Razak dalam hantaran di Facebook mendakwa pentadbiran PH bertanggungjawab terhadap kelambatan projek LCS.

Dia mendakwa LCS1 sudah 44 peratus siap ketika dilancarkan pada 2017 tetapi hanya siap 55.7 peratus ketika Mohamad Sabu memberi jawapan di Parlimen pada Oktober 2019.

Namun menurut laporan PAC, LCS1 hanya siap 36.8 peratus setakat Mei 2019.

Mohamad dan timbalannya Liew Chin Tong kemudiannya mengeluarkan kenyataan menyangkal dakwaan Najib pada 9 Ogos lalu.

Sementara Najib menyalahkan perubahan kerajaan persekutuan pada 2018 atas kelambatan, bekas ketua pengarah TLDM untuk projek LCS memberitahu PAC bahawa perubahan itu membolehkannya mencara punca utama masalah projek dan menjalankan audit forensik.

Dalam pada itu, pada Disember 2020 PAC diberitahu semua OEM (Original Equipment Manufacturer) dan subkontraktor telah berhenti melaksanakan projek kerana tidak menerima bayaran. Hanya Boustead yang menjalankan kerja projek ketika itu.

Masalah pembayaran bermula pada April 2018, menurut laporan PAC.

Pada 10 Ogos lalu, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan OEM, vendor dan institusi kewangan untuk pelan mobilisasi bagi memastikan LCS disiapkan.

Apakah TLDM perlukan kapal baru?

Pada April, Panglima Tentera Laut Mohd Reza Sany memberitahu media yang 61 peratus daripada aset tentera laut beroperasi melangkaui tempoh perkhidmatan.

Katanya, aset baru diperlukan untuk melindungi kepentingan dan kedaulatan negara.

Kesemua kapal tempur permukaan utama milik negara berusia lebih 20 tahun.

Frigat kelas Lekiu mula beroperasi pada 1999, sementara korvet kelas Kasturi sejak 1984 dan korvet kelas Laksamana mula beroperasi pada 1997.

Apakah reaksi terhadap laporan PAC?

Susulan laporan yang mengundang perhatian ramai itu, ahli politik dari kedua-dua pihak mula saling menuding jari.

Ahli politik PH pantas mendesak penjelasan daripada kerajaan dan pemimpin BN yang memegang kuasa ketika kontrak LCS dimeterai.

Sementara itu, bekas menteri pertahanan dan timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata tidak wajar untuk menyalahkannya dalam hal ini.

Pemuda Umno, Bersatu dan Amanah pula menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat perkara ini sedalamnya.

Sementara itu, kerajaan berkata akan mengubah status rahsia audit forensik projek LCS - namun, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, ia perlu mengambil kira nasihat Peguam Negara dan Ketua Audit Negara terlebih dulu.

Apa yang membuatkan TLDM membeli LCS?

Sebelum program LCS, kapal tempur paling moden milik TLDM adalah dua frigat kelas Lekiu - KD Lekiu dan KD Jebat.

Pada 2006, Najib sebagai menteri pertahanan mengumumkan kerajaan akan membeli dua lagi kapal jenis Lekiu namun urus niaga itu akhirnya tidak diteruskan.

Lima tahun kemudian, kerajaan mengumumkan program kapal peronda generasi kedua yang akan menjadi urus niaga pertahanan terbesar negara pada nilai RM6 bilion.

Syarikat yang membida untuk projek itu termasuk DCNS, Damen Naval dan ThyssenKrupp Marine Systems dari Jerman.

Pada Disember 2011, Kementerian Pertahanan mengumumkan rekaan kapal kelas Gowind DSNS menang bidaan dan kontrak pembinaan diberikan kepada BNS.

Pada 2011, Abdul Aziz Jaafar selaku panglima TLDM ketika itu berkata kos RM1 bilion untuk sebuah LCS tidak berlebihan kerana:

"Kos merangkumi kos keseluruhan membina LCS termasuk aspek persenjataan yang sofistikated, peralatan radar dan pengesan yang berkemampuan amat tinggi dan juga teknologi sonar untuk mengesan kapal selam.

"LCS dilengkapi sistem pertahanan sofistikated seperti 'command and control', perang elektronik, kawalan enjin pelbagai mode, radar tiga dimensi, sistem misil air dan udara serta kebolehan torpedo antikapal selam."

Apakah isu perolehan dalam tentera sesuatu yang baru?

Ini bukanlah kali pertama perolehan TLDM membawa kepada kontroversi.

a) Kapal selam Scorpene

Isu paling terkenal adalah skandal Scorpene melibatkan orang yang rapat dengan Najib, Abdul Razak Baginda. Pihak berkuasa Perancis melancarkan siasatan terhadap kemungkinan rasuah diberikan untuk mendapatkan urus niaga ini.

Pada April lalu, hakim di mahkamah Perancis mendakwa firma pertahanan Thales - salah satu pembekal untuk projek LCS - dengan pertuduhan rasuah melibatkan urus niaga Scorpene.

b) penangguhan perolehan dan pengurangan kos bagi Kapal Misi Pesisir (LMS)

Selepas PRU 2018, kerajaan PH menyemak semula projek LMS dan memutuskan untuk menurunkan kos.

Pada mulanya, dua daripada empat kapal LMS dirancang untuk dibina di CHina manakala selebihnya oleh BNS. Selepas rundingan, kerajaan PH berkata pembinaan kesemua empat kapal LMS di China akan menjimatkan RM122 juta.

c) Pembinaan OPV kelas Kedah

Pada 2006, pembinaan OPV kelas Kedah dilanda penangguhan dan masalah.

Siasatan PAC mendedahkan masalah serius dengan pembina utama, Penang Shipbuilding and Construction - Naval Dockyard Sdn Bhd (PSC-Naval Dockyard).

Lebih RM200 juta diperlukan untuk menyelesaikan bil yang tidak dibayar dan peningkatan kos.

Syarikat itu kemudian memfailkan tindakan kebangkrapan dan kemudian diletakkan di bawah BNS.

Lihat Komen
ADS