MyAirline mohon maaf isu tali pinggang keledar kanak-kanak
Syarikat penerbangan MyAirlines memohon maaf atas insiden yang melibatkan sebuah keluarga dan polisi tali pinggang keledar kanak-kanak.
Syarikat penerbangan itu menjanjikan siasatan menyeluruh mengenai perkara itu dan mengambil langkah pembetulan.
"Susulan daripada penyiasatan yang sedang dijalankan, kami komited untuk belajar daripada pengalaman ini untuk perbaiki lagi mutu perkhidmatan kami dan memastikan pelancongan yang positif untuk semua penumpang," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Kejadian membabitkan sepasang suami isteri dan anak mereka yang baru menginjak usia dua tahun dalam penerbangan dari Langkawi ke Kuala Lumpur pada 24 Mei lalu.
Menurut pasangan itu yang berkongsi kejadian berkenaan di Facebook, kru kabin telah mengarahkan mereka untuk menenangkan anak mereka di tempat duduknya.
Berikutan itu, pasangan itu meminta sambungan tali pinggang keselamatan kerana bimbang anak mereka tidak cukup berdikari untuk duduk bersendirian di kerusinya.
Permintaan ini telah ditolak kerana polisi syarikat penerbangan dan peraturan keselamatan.
Apabila pesawat mula bergerak, kanak-kanak itu mula menangis. Pada ketika ini, kru kabin meminta pasangan itu memastikan anak mereka duduk dengan betul untuk berlepas.
Bagaimanapun, apabila pasangan itu tidak dapat mematuhinya, kapten kapal membuat pengumuman dengan meminta mereka duduk dengan betul atau mereka akan dikeluarkan dari pesawat.
"Aku ingatkan dalam movie dan berita pasal terrorist attack je yang kena dissembark from the plane. Rupanya anak menangis tak nak duduk pakai seatbelt pun kena. Kena batang hidung sendiri baru tahu macam mana rasa dia," kata bapa kepada anak itu.
Dia berkata, kejadian itu amat memalukan tetapi mereka berjaya akur walaupun dengan bantahan dan tangisan anaknya, dan kapal dapat berlepas.
Pengalaman pahit mereka berterusan walaupun selepas mereka mendarat apabila sekumpulan kakitangan darat cuba meyakinkan mereka untuk memadamkan klip video kejadian itu.
"Kesimpulannya, pada korang yang plan nak travel dengan MYAirline dengan anak umur baru masuk dua tahun atau tiga tahun atau anak yang saiznya tak berapa besar dan tak boleh duduk diam dekat kerusi macam robot yang diprogram, baik batalkan niat atau cuba syarikat penerbangan lain.
Supaya korang tak kena macam aku dan menyesal kemudian hari. Buat masa ni MyAirline memang is a 'no' untuk aku dan keluarga sebab diorang sangatlah tidak mesra kanak-kanak," katanya.
Dalam kenyataan mereka, MyAirline menjelaskan mengikut peraturan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM), kanak-kanak di bawah usia 24 bulan mesti duduk bersama ibu bapa atau penjaga mereka dengan tali pinggang keledar bayi.
Walau bagaimanapun, kanak-kanak berumur 24 bulan ke atas mesti dipakaikan tali pinggang keledar di tempat duduk mereka sendiri atas sebab keselamatan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/05/b22473dc8a6158b1fa74925cf338f3e0.jpg)
