Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan mengeluarkan arahan penganjuran tayangan filem "Anwar: The Untold Story" kepada warga pendidik dan pelajar sekolah seperti yang tular di media sosial.
Dalam satu kenyataan kementerian itu menjelaskan bahawa pekeliling berkenaan adalah palsu.
"Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan penganjuran tayangan filem seperti yang ditularkan.
"Semak kesahihan maklumat, tidak pasti jangan kongsi," kata kementerian itu dalam kenyataan media yang dikongsikan di Facebook.

Terdahulu, surat palsu bertarikh 22 Mei itu ditandatangani Ketua Pengarah KPM, Pkharuddin Ghazali meminta semua ketua bahagian dan pengarah pendidikan negeri menonton filem tersebut di pawagam terdekat.
Pekeling palsu itu juga menyebut bahawa penganjuran program itu bertujuan untuk membuka ruang bagi warga KPM dan pelajar memahami erti dan konsep Malaysia Madani.
KPM sebelum ini juga menafikan menaja tayangan filem tersebut untuk pelajar sekolah di Putrajaya.
Setiausaha politik kepada menteri pendidikan, Atiqah Syairah Shaharuddin berkata tayangan itu sebaliknya ditaja oleh orang ramai dan sebuah NGO.
