Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi jadi menteri tak boleh 'biasa-biasa', kata ahli MKT Umno
Diterbitkan:  May 31, 2023 4:12 PM
Dikemaskini: 8:53 AM

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilihat tidak melakukan sebarang langkah signifikan untuk meningkatkan ekonomi negara, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi.

Atas sebab itu, katanya, kini timbul spekulasi mengenai rombakan kabinet yang akan berlaku.

Mohd Puad Zarkashi

“Rakyat belum nampak langkah signifikan yang Rafizi buat untuk ekonomi negara. Sekurang kurangnya polisi baru ekonomi rakyat. 

“Apakah Rafizi tiada persiapan untuk jadi menteri. Itu masalahnya bila banyak sangat formula sebelum jadi menteri. Bila jadi menteri tidak boleh biasa-biasa. Mesti luar biasa.

“Agaknya itu punca timbul cerita akan berlaku rombakan kabinet," kata Puad dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, seseorang menteri mesti “luar biasa” untuk mempertahankan kerajaan perpaduan, hari ini.

“Bila jadi menteri tidak boleh biasa biasa. Mesti luar biasa.

“Jangan nanti rakyat kata Rafizi turun, ringgit naik,” katanya.

Selain ekonomi yang lesu dan kenaikan harga barangan, ringgit pula terus jatuh dan mencecah paras RM4.6 berbanding dolar Amerika Syarikat iaitu paras terendah dalam tempoh enam bulan tahun ini.

Meskipun dibidas oleh pelbagai pihak termasuk pemimpin Pakatan Harapan dan BN, serta daripada pembangkang, Rafizi sekadar berkata dia akan menunggu Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan.

Menurutnya, bank pusat itu mempunyai pandangan jangka panjang mengenai mata wang tempatan, berbanding ahli politik yang mempunyai pandangan jangka pendek.

Sebelum ini, Anwar juga dilaporkan berkemungkinan akan memecat menteri dan penjawat awam kanan yang "kurang cekap" dalam satu rombakan besar-besaran.

Bagaimanapun, ketika diminta menghuraikan kenyataannya itu, Anwar menjawap secara sindiran.

“Kalau ada cadangan, sila tulis kepada saya dan saya akan beri pertimbangan yang sebaiknya,” katanya.

Lihat Komen
ADS